KHAMIS, 22 SEPTEMBER 2022
MARUDI: Sifat pemimpin Sarawak yang mengutamakan rakyat terus menjamin pembangunan berterusan di negeri ini termasuk kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datu Dr. Penguang Manggil memberitahu, keprihatinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang meletakkan rakyat sebagai keutamaan telah menjurus kepada kelulusan pelbagai projek pembangunan di kawasan seperti Baram.
“Dengan pendekatan rakyat ‘first’, Premier Sarawak telah meluluskan pelaksanaan projek-projek berkaitan infrastruktur jalan, utiliti dan juga fasiliti termasuk ‘waterfront’, dewan dan stadium di kawasan ini,” katanya ketika memberi ucapan aluan bersempena dengan lawatan kerja Premier Sarawak ke daerah Marudi di Dewan Suarah Marudi pada Khamis.
Datu Dr Penguang menambah, banyak projek telah dimohon olehnya semenjak beliau menduduki kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi sebagai wakil rakyat.
“Manakala Premier Sarawak pula sentiasa memberi persetujuan untuk pelaksanaan projek-projek tersebut tanpa teragak-agak,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru kepada warga Baram untuk kekal memberi sokongan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti dan juga untuk tahun-tahun akan datang. -Edisi UKAS