Penantian Berakhir, Warga Marudi Kini Miliki Stesen Minyak Baharu

KHAMIS, 22 SEPTEMBER 2022

BARAM: Penantian warga Marudi untuk memiliki stesen minyak baharu kini berakhir apabila sebuah stesen minyak Shell telah dibuka untuk kegunaan para penduduk.

Menurut Timbalan Menteri, Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datu Dr Penguang Manggil, pembukaan stesen minyak berkenaan adalah bagi menggantikan stesen minyak lama yang terletak di tebingan sungai Baram.

Katanya, stesen minyak yang lama itu sering dilanda banjir dan sempit memandangkan jumlah kenderaan semakin bertambah di Pekan Marudi.

“Hari ini merupakan hari yang bersejarah bagi penduduk di Daerah Marudi kerana mempunyai sebuah stesen minyak yang memenuhi standard dan piawaian peringkat nasional.

“Stesen minyak ini juga mempunyai ruang yang lebih luas dan selesa serta menjamin keselamatan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Stesen Minyak Shell Marudi disini pada Rabu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi menambah, stesen minyak Shell itu juga menyediakan kemudahan pembayaran secara digital sama ada menggunakan kad kredit, kad debit dan Sarawak Pay sama seperti stesen minyak di bandar besar.

Ujar Datu Dr. Penguang lagi, pembukaan stesen minyak itu merupakan salah satu kemajuan yang dibawa oleh Kerajaan Sarawak ke Marudi dalam usaha untuk memberikan kemudahan yang terbaik kepada penduduk.

“Bukan setesen minyak ini sahaja jika dilihat banyak kemajuan telah dilaksanakan di Pekan ini walaupun terdapat beberapa isu berkenaan dengan kelewatan projek untuk disiapkan,” jelasnya.

Dalam pada itu beliau turut memberitahu, sebuah lagi stesen minyak akan dibuka disitu bagi memberi kemudahan dan keselesaan kepada penduduk.

Antara yang turut hadir semasa perasmian berkenaan ialah Pengerusi Majlis Daerah Marudi Kaunselor Edward Mendai, Ketua-Ketua Masyarakat Daerah Marudi, Tuai-Tuai Rumah dan Ketua-Ketua Kaum Daerah Marudi.-EDISI UKAS

add comment