Sambutan Hari Guru PPD Sarikei Hargai Peranan Warga Pendidik

Khamis, 22 September 2022

Sarikei: Sambutan Hari Guru Peringkat Daerah Sarikei Tahun 2022 yang dianjurkan oleh Pejabat Pendidikan Daerah Sarikei disambut meriah dengan kehadiran wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Anthony Tan Hieng Kiek.

Sambutan Hari Guru bertujuan memberi tanda terima kasih kepada guru daripada pihak sekolah selain daripada murid.

Sambutan ini bertujuan untuk menghargai jasa dan pengorbanan guru dalam usaha membentuk generasi yang berwibawa.

Dalam pada itu, Anthony Tan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pengetua SMK St. Anthony kerana sudi menjemput dan menyediakan dewan yang cantik untuk meraikan sambutan Hari Guru Daerah Sarikei 2022.

“Selamat Hari Guru saya ucapkan kepada semua guru di Daerah Sarikei (Guru Tunjang Sekolah Sejahtera). Tahniah saya ucapkan kepada Jawatankuasa Pengelola Majlis kerana  penganjuran majlis yang penuh kemeriahan ini,” katanya.

“Guru Tunjang Sekolah Sejahtera telah dipilih sebagai tema Hari Guru tahun 2022 di seluruh negara sebagai menghargai dan memberi pengiktirafan kepada guru-guru yang telah menyumbang jasa dalam mendidik anak-anak generasi muda Malaysia,” ujarnya lagi.

Beliau turut menambah, tema ini menyentuh peranan guru dalam memastikan kesejahteraan sekolah dan dapat memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Negara.

Katanya, Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA bertepatan dengan peranan dan tugas guru-guru dalam melahirkan insan yang seimbang dan berkerampilan kerana konsep sejahtera menggabungkan kognitif, sosioemosi dan tingkah laku murid.

“Inilah peranan guru untuk menggabungkan ketiga-tiga aspek ini untuk memastikan kemenjadian murid secara holistik,” katanya.

Tambahnya, sebagai wakil suara masyarakat di daerah Sarikei, beliau cukup gembira dan bangga dengan pencapaian akademik dan kokurikulum anak-anak didik kita.

“Saya dimaklumkan bahawa pencapaian SPM tahun 2021 sangat cemerlang dan pencapaian murid dalam pelbagai pertandingan yang dianjurkan di pelbagai peringkat juga menunjukkan prestasi yang membanggakan termasuk di peringkat kebangsaan.

“Saya sangat berterima kasih atas peranan yang telah dimainkan oleh guru-guru di daerah ini dalam menghasilkan semua kejayaan ini. Tahniah dan terima kasih cikgu.”

Turut hadir pada majlis tersebut Pengarah Pendidikan Sarawak Datu Azhar Ahmad, Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei Lau Ngie Tung dan tetamu jemputan yang lain. – Edisi Ukas

add comment