Anugerah Usahawan Bumiputera Sarawak 2022 Pada 11 November Depan

JUMAAT, 23 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Anugerah Usahawan Bumiputera Sarawak (AUBS) 2022 akan diadakan di Hotel Riverside Majestic Kuching pada 11 November 2022yang bertujuan untuk mengiktiraf usahawan-usahawan bumiputera di negeri ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pencalonan untuk anugerah itu kini telah dibuka dan akan ditutup pada 14 Oktober 2022.

“Antara anugerah yang akan disampaikan nanti ialah Anugerah Usahawan Bumiputera Cemerlang, Anugerah Usahawan Berjaya dan Anugerah Usahawan Harapan.

“Bagi Anugerah Usahawan Bumiputera Cemerlang, ia dibahagikan kepada empat kategori iaitu sektor Pembangunan/Hartanah, sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS)/Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) – Pengilangan, sektor agro/ aqua/bio dan sektor perkhidmatan termasuk pelancongan, pengangkutan, profesional, makanan dan minuman serta bisnes dalam talian.

“Manakala, bagi Anugerah Usahawan Harapan, anugerah akan diberikan kepada usahawan wanita yang berumur 45 tahun ke bawah, usahawan lelaki yang berumur 45 tahun ke bawah dan Anugerah Usahawan Belia pula untuk mereka yang berumur 18 hingga 30 tahun,”jelasnya dalam satu sidang media di Wisma Sumber Alam disini pada Jumaat.

Di samping itu, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak memaklumkan, para pemenang bagi empat kategori Anugerah Usahawan Bumiputera Cemerlang akan layak menerima pinjaman melalui Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS) yang berjumlah RM250,000.

Tambah beliau lagi, para pemenang bagi Anugerah Usahawan Harapan pula akan layak menerima geran yang berjumlah RM20,000 untuk setiap kategori.

Untuk pertanyaan lanjut dan penghantaran borang penyertaan sila hubungi Pengerusi Jawatankuasa AUBS 2022 MINTRED Sarawak menerusi Pegawai Perhubungan Nazihah Anuar di alamat emel nazihaha@sarawak.gov.my atau Pejabat dan Pusat Khidmat Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) di talian 082-233133 atau 082-247166 atau boleh menghantar e-mel ke dubssarawak@gmail.com.-EDISI UKAS

add comment