Jalan Kekal Kampung Apar-Segong Dilaksana Segera

JUMAAT, 23 SEPTEMBER 2022

BAU: Isu jalan masuk ke simpang Kampung Apar-Segong, Bau yang tular di media sosial mendapat perhatian daripada Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai & Laut) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep.

Sehubungan itu, beliau telah melakukan tinjauan bersama dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak ke lokasi berkenaan, pada Khamis.

Ketika ditemui media, Dato Henry memberitahu, berdasarkan aduan pengguna jalan raya, jalan itu mengalami kerosakan dan menimbulkan ketidakselesaan.

Justeru itu, beliau menjelaskan, jalan tersebut akan diturap untuk kegunaan sementara dan laluan kekal bakal dibina dalam tempoh tujuh hari.

“Kita bersama dengan pihak JKR berusaha menyelesaikan isu ini dan pihak kontraktor juga sedaya upaya mempercepatkan membaiki kerosakan jalan.

“Penurapan Jalan Apar-Segong akan dibuat untuk kegunaan sementara, manakala bagi jalan kekal akan dilaksana dalam tempoh tujuh hari.

“Begitu juga dengan simpang Kampung Senibung, kerja penambahbaikan akan dibuat dalam tempoh seminggu, manakala simpang Singai-Matang sudah dapat digunakan,” ujarnya. -EDISI UKAS

add comment