Jambatan Pejalan Kaki Tasik Biru Kini Dibuka

JUMAAT, 23 SEPTEMBER 2022

BAU: Jambatan pejalan kaki Tasik Biru yang dikenali sebagai ‘Bau Bicentennial Bridge’ kini secara rasminya dibuka kepada semua terutama pengunjung yang datang ke sini.

Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata, jambatan yang diberi nama sempena dengan sambutan 200 tahun daerah Bau pada 2020 itu menjadi mercu tanda sejarah bagi daerah tersebut yang mengembalikan nostalgia jambatan merah konkrit di situ pada suatu ketika dahulu.

“Dulu ada jambatan merah dibina menggunakan konkrit, lepas itu apabila perlombongan dilakukan untuk kali kedua yang kedalamannya sampai 400 kaki, maka jambatan itu sudah tiada lagi dan kita hilang mercu tanda di Bau,” katanya semasa ditemui media selepas menyempurnakan perasmian jambatan tersebut pada Khamis.

Jelas beliau, ia berkonsepkan reka bentuk dari Waihi, New Zealand yang merupakan sebuah bandar bekas perlombongan emas yang dinaiktaraf sebagai tempat pelancongan.

“Kita ada membuat lawatan dan tempat itu memang cantik, mempunyai jambatan yang lebih kurang sama kerana mengambil ilham dan idea daripada jambatan itu dan kita buat di Tasik Biru. Hari ini kita bersyukur kerana jambatan tersebut dapat dirasmikan dan dibuka kepada orang ramai,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Dato Henry memberitahu, Premier Sarawak telah meluluskan peruntukan tambahan bagi membina jambatan tersebut sebanyak RM1 juta menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).

Sehubungan itu katanya, ‘Miner’s Walk’ juga telah dibina bermula dari jambatan tersebut menuju ke sebuah Tokong yang sepanjang lebih satu kilometer dan mengambil masa lebih kurang 10 minit perjalanan.

Tambah beliau lagi, dalam rancangan terbaharu pihak pemaju akan membina sebuah platform menggunakan kaca seperti yang terdapat di negara China, yang mana pengunjung dapat menikmati pemandangan dengan lebih jelas dalam masa sama merasai pengalaman yang mencabar dari bahagian atas apabila melihat ke bawah.

Ujarnya, ia akan dinamakan sebagai ‘Tanyuk Ninyau’ dalam Bahasa Bidayuh.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Bau Anielia Siam, Setiausaha Majlis Daerah Bau Ng Siang Wei serta tetamu jemputan lain. -EDISI UKAS

add comment