LAKIS Cadang Beberapa Usaha Bangunkan Spaoh

JUMAAT, 23 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Lembaga Amanah Khairat Islam Spaoh (LAKIS) mencadangkan beberapa hasrat bagi pembangunan di kawasan Spaoh. 

Menurut Pengerusi LAKIS, Abang Ismail Abang Julhi, pihaknya telah membincangkan empat cadangan yang dikemukakan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg. 

“Kami bercadang untuk menambabaik Tanah Perkuburan Islam Spaoh agar nampak lebih moden selain untuk mengelak hakisan tanah berlaku. 

“Selain itu, kami turut bercadang untuk menaiktaraf Masjid Darul Syifa Spaoh agar dapat menampung jumlah yang datang ke Masjid terutamanya pada musim perayaan agar dapat memberi manfaat kepada seluruh umat Islam di Spaoh dan kawasan sekitarnya,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas membuat kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Jumaat. 

Jelasnya lagi, pihaknya turut mengemukakan cadangan untuk membina Stesen Petros yang kedua di Spaoh selepas Kuching agar dapat memberi manfaat kepada lebih 6,000 pengguna-pengguna kenderaan di kawasan Spaoh. 

“Manakala, cadangan seterusnya ialah kami bercadang untuk membina Sekolah Tahfiz LAKIS untuk menghimpunkan pelajar-pelajar madrasah di bahagian Betong dan daerah Kalaka. 

“Itulah harapan kami agar madrasah ini mampu untuk melahirkan golongan-golongan imam dan tahfiz di Spaoh agar dapat memberi manfaat kepada seluruh penduduk Islam khususnya di daerah Saribas dan Kalaka,” ujarnya. 

Justeru katanya, Premier Sarawak telah meluluskan dua cadangan iaitu menambabaik Tanah Perkuburan Islam Spaoh dan menaiktaraf Masjid Darul Syifa Spaoh dengan peruntukan bernilai lebih RM20 juta. 

“Bagi cadangan untuk membina Stesen Petros dan membina Tahfiz, Premier Sarawak menasihatkan agar pihaknya berbincang bersama Sarawak Energy dan Harakah Islamiah (HIKMAH) bagi cadangan tersebut,” katanya lagi. -EDISI UKAS

add comment