‘Miss Tourism International World Final’ Bakal Pacu Industri Pelancongan Sarawak

JUMAAT, 23 SEPTEMBER 2022

BAU: Miss Tourism International (MTI) World Final 2022/2023 Edisi Ke-25 dijangka dapat membantu mempromosikan industri pelancongan di Sarawak.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, peserta MTI yang merupakan wakil dari seluruh dunia itu secara tidak langsung akan menonjolkan Sarawak menerusi media sosial mereka.

“Para jelitawan ini adalah duta kepada negara masing-masing dan mempunyai pengikut mereka sendiri di media sosial.

“Oleh itu, jika mereka memuat naik gambar aktiviti di Sarawak, secara tidak langsung ia akan membantu memperkenalkan negeri kita terutamanya Bau ke seluruh dunia.

“Promosi seperti ini adalah sesuatu yang pihak kementerian juga tidak mampu lakukan dengan senang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Miss Tourism International (MTI) World Final 2022/2023 Edisi Ke-25 di Bau, pada Khamis.

Dato Sri Abdul Karim menambah, penganjuran Miss Tourism International dijangka membawa kira-kira 60 jelitawan dari seluruh dunia ke Kuching dari 11 hingga 27 November ini.

Turut hadir dalam sidang media itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep, Setiausaha Tetap dan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Hii Chang Kee. -EDISI UKAS

add comment