JUMAAT, 23 SEPTEMBER 2022
BINTULU: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) rumah panjang, kampung dan sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena menerima geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS).
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom telah menyempurnakan penyerahan bantuan berkenaan yang melibatkan 36 penerima MRP dan lima penerima PPRMS untuk membantu membiayai aktiviti mereka dengan jumlah keseluruhan RM1.1 juta.
“Para penerima dingatkan untuk mengguna dana bantuan ini dengan sebaik mungkin dan memberikan laporan hasil daripada peruntukan yang digunakan kepada ibu pejabat Unit Pemantauan Pelaksanaan Negeri (SIMU),”katanya semasa berucap dalam majlis berkenaan pada Khamis.
Dato Sri Dr. Stephen Rundi berkata lagi, penyampaian geran itu merupakan kali ketiga dilakukan untuk rakyat di kawasan DUN Kemena dan untuk kali keempat kelak, peruntukan kerajaan yang sama juga akan diagihkan kepada rakyat secara adil.
“Kita akan bantu mereka yang memerlukan dan saya akan memastikan semua mendapat peruntukan ini, bererti semua dapat serba sedikit bantuan tidak kira penerimanya penduduk kampung, rumah panjang, sekolah dan sebagainya.
“Bagi yang tidak mendapat bantuan pada tahun ini, jangan putus asa memandangkan tahun depan dana sama akan diagihkan kepada siapa yang belum menerimanya dan dana itu tidak akan diberikan kepada mereka yang sama sepanjang tahun,” katanya lagi.
Hadir sama dalam majlis penyerahan ini ialah, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Jenny Bangga, Pegawai Khas Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Theadeus Ling Alu, dan Pegawai Tadbir Daerah Sebauh Sherri Lia.