Renang, Terjun & Memanah Tambah Pingat Emas Buat Kontinjen Sarawak

JUMAAT, 23 APRIL 2022

KUALA LUMPUR: Hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022 akan menutup tirainya, kontinjen Sarawak terus menambah jumlah pungutan pingat termasuk pingat emas. 

Emas pertama Sarawak di hari ke-7 SUKMA XX MSN 2022 itu disumbang penerjun Bertrand Rhodict menerusi acara Individu Platform Lelaki apabila mencatat 395.05 mata, manakala pingat perak dimenangi Elvis Priestly selepas mencatat 372.10 mata serta penerjun Sabah memperoleh pingat gangsa di Pusat Akuatik Bukit Jalil di sini pada Khamis. 

Pingat emas kedua Sarawak di Pusat Akuatik Bukit Jalil itu diperoleh atlet Kelly Teo Yao yang menjuarai acara renang Wanita 400 Meter Gaya Bebas. 

Turut memenangi pingat perak, perenang Hii Poung Wei menerusi acara Lelaki 200 Meter Kuak Lentang dan Lelaki 4 X 200 Meter Gaya Bebas, manakala pingat gangsa diperoleh menerusi acara Wanita 4 X 200 Meter Gaya Bebas Berganti-ganti. 

Seterusnya, sukan memanah terus membawa berita gembira kepada kontinjen Sarawak apabila pada Khamis menambah dua pingat emas daripada Joey Tan Xing Lei, Supang Yahya dan Zakirah Mohammad Feroz dalam acara Olympic Recurve Women Team.

Pingat emas seterusnya dihadiahkan Cecil Nathanael Busu Polycap dan Joey Tan Xing Lei menerusi Olympic Recurve Mixed Individual. 

Selain itu, sukan menembak yang sebelum ini pernah mendapat pingat emas dan gangsa sekali lagi berbuat demikian apabila meraih pingat perak menerusi Justin Joannes dan Law Wen Xuen dalam acara 10 meter Air Pistol Mixed di Lapang Sasar Menembak Subang pada Khamis. 

Sementara, pingat gangsa dimenangi penembak Selina Sim Shu Siang, Siti Nur Aisyah Mazlan dan Daphanie Adrienne Steven dalam acara 50 meter Rifle Women Team. 

Kejayaan Abang Afiq Yazid dan Nur Hazirah Ramli memperolehi pingat gangsa dalam acara Masters Lelaki dan Wanita di Sunway Mega Lanes Subang pada Khamis telah melengkapkan pungutan pingat kepada 4 emas, dua perak dan 4 gangsa sekaligus muncul juara keseluruhan tenpin bowling SUKMA XX MSN 2022. 

Turut tidak ketinggalan menyumbang pingat ialah pasukan Bola Tampar Wanita Sarawak selepas berjaya menumpaskan pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, manakala sukan Judo memenangi pingat perak dalam acara Lelaki Bawah 81 Kg di Dewan Kompleks Sukan UiTM Shah Alam. 

Pada Jumaat, beberapa lagi acara akhir yang melibatkan atlet Sarawak akan diadakan dan ini harus dimenangi bagi memastikan Sarawak mensasarkan menduduki 5 kedudukan terakhir pada SUKMA XX MSN 2022 kali ini. 

Antara sukan itu ialah angkat berat, akuatik renang, badminton, bola tampar, berbasikal, bola keranjang 3 x 3, gimrama, pencak silat, petanque, pelayaran, tenis, tinju, lawn ball. -EDISI UKAS

add comment