Sarawak Kembali Dominasi Sukan Bola Tampar

SABTU, 24 SEPTEMBER 2022

KUALA LUMPUR: Selepas penantian selama 12 tahun, kejuaraan acara bola tampar dewan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) kembali semula ke Bumi Kenyalang.

Detik manis itu terlakar di Dewan MBSA Shah Alam pada Jumaat susulan kejayaan atlet berpasukan lelaki Sarawak menundukkan musuh tradisinya, Selangor dengan 3-2 dalam aksi final penuh dramatik.

Ia bukan laluan mudah bagi anak didik Philip Teo Chit Boon apabila terpaksa bermandi peluh dalam pertarungan sengit lima set sebelum dinobatkan juara.

Set pertama Sarawak bermula baik dengan melakar kemenangan 27-25 namun dibalas Selangor dengan kemenangan 24-26.

Selangor bangkit memenangi set ketiga dengan 23-25 namun dibalas Sarawak dengan kemenangan 25-23 untuk mengikat kedudukan kepada 2-2.

Keyakinan pemain Sarawak semakin melonjak pada set terakhir dengan menampilkan permainan kemas sekaligus melakar kemenangan dengan skor 16-14.

Kejayaan Sarawak tambah manis apabila kapten mereka, Ranjit Ramu dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai Sukma 2022.

Ketika ditemubual, pemain kebangsaan itu sangat gembira kerana dapat menyumbang pingat emas untuk Sarawak pada penampilan terakhirnya di temasya Sukma.

Katanya, semangat ‘Agi Idup Agi Ngelaban’ semakin membakar semangat beliau untuk menampilkan aksi yang lebih cemerlang.

“Ini adalah Sukma terakhir saya, jadi saya kena bermain dengan bersungguh-sungguh,” katanya kepada wartawan.

Sementara itu, Penolong Ketua Kontinjen (ACDM) skuad bola tampar dewan Sarawak yang juga ADUN Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek amat gembira kerana kejuaraan sukan itu kembali ke Sarawak setelah kali terakhir pada 12 tahun lepas.

Katanya, penonton sangat terhibur kerana dihidangkan dengan aksi sengit permainan lima set.

“Saya harap skuad bola tampar kita dapat meneruskan prestasi seperti ini di masa akan datang,” ujar beliau.  

Bagi Pengurus Pasukan Sarawak, Datuk Moh Wung Ming, kejayaan anak-anak buahnya tidak digapai dengan mudah di mana mereka telah berkorban menjalani latihan dengan gigih walaupun terpaksa berdepan kekangan akibat pandemik Covid-19.

Katanya, pencapaian skuad bola tampar Sarawak tidak akan menjadi realiti tanpa sokongan padu dari kerajaan negeri untuk menghadapi Sukma kali ini.

Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Persatuan Bola Tampar Sarawak (SAVA), Temenggung Datuk Vincent Lau serta Joseph Chieng atas sokongan terhadap skuad bola tampar Sarawak.

Terdahulu, skuad bola tampar wanita Sarawak menamatkan saingan dengan memenangi gangsa selepas menewaskan Kuala Lumpur dalam penentuan tempat ketiga dan keempat pada Khamis. – EDISI UKAS

add comment