AHAD, 25 SEPTEMBER 2022
BAU: Umat Kristian di Kampung Kandis Baru di sini kini boleh melakukan aktiviti keagamaan dengan lebih selesa apabila Gereja Baru St. Thomas Moore siap sepenuhnya dan dirasmikan pada Ahad.
Upacara pemberkatan Gereja St. Thomas Moore, Kampung Kandis Baru telah disempuranakan oleh Uskup Agung Simon Poh Hoon Seng dan disaksikan oleh Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep, ADUN Serembu, Miro Simuh, ADUN Tebedu, Dr Simon Sinang Bada, Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR), Richard Lon dan Rektor Parish St. Stephen, Bau, Rev Fr. Peter Liston.
Pembinaan gereja baharu tersebut telah dimulakan pada tahun 2017 dan mengambil masa selama 3 tahun untuk disiapkan dengan kos bernilai RM1.6 juta.
Ia merangkumi kos pembinaan bangunan, kelengkapan dan kemudahan yang diperlukan di dalam gereja tersebut.
Sementara itu, Miro ketika berucap memberitahu, beliau berterima kasih dengan pihak kerajaan negeri yang banyak membantu menyalurkan dana bagi pembinaan gereja berkenaan.
Bagaimanapun katanya, bukan sahaja Gereja St. Thomas Moore, Kandis Baru sahaja dibangunkan, namun terdapat beberapa gereja juga telah siap dibina dan akan dirasmikan.
“Saya amat berbesar hati membantu dalam pembangunan rumah-rumah ibadat seperti gereja ini kerana saya percaya akan slogan ‘unity in diversity’,” katanya.
Dato Sri Dr Stephen Rundi turut mengucapkan tahniah kepada penduduk Kampung Kandis Baru serta semua penduduk di kawasan Serembu yang tidak putus-putus membangunkan rumah ibadat masing-masing. -EDISI UKAS