Pasukan IBET Dilancarkan Bagi Memerangi Wabak Rabies

ISNIN, 26 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Sebagai strategi memerangi dan mengawal penularan wabak Rabies di negeri ini, kerajaan Sarawak telah menubuhkan pasukan penguatkuasa yang dikenali sebagai Immune Belt Enforcement Team (IBET).

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pasukan IBET di bawah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) akan melaksanakan inisiatif penyelesaian jangka panjang bagi mengawal wabak Rabies di negeri ini.

Menurutnya, tindakan drastik seperti penubuhan IBET adalah julung-julung kali diambil oleh sesebuah kerajaan bagi menangani penularan wabak Rabies.

“Di samping itu pasukan IBET juga dibekalkan dengan kenderaan berserta kelengkapan canggih untuk membolehkan mereka menjalankan tugas di lokasi pedalaman yang terpencil.

“Saya yakin dengan segala persediaan dan kelengkapan yang ada, maka pasukan IBET ini akan dapat melindungi kita dari ancaman penyakit rabies yang dibawa oleh anjing liar dari negara jiran,” katanya semasa melancarkan pasukan IBET di Dataran Perayaan di sini pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengarah UKPS, Datu Dr Chai Khin Chung serta tetamu jemputan lain.

Sementara itu, Premier Sarawak memberitahu, kerajaan Sarawak bekerja keras untuk menghapuskan wabak Rabies melalui pelbagai pendekatan seperti vaksinasi dan operasi bersepadu yang melibatkan kerjasama pelbagai pihak.

Malah jelasnya, kerajaan Sarawak sanggup mengeluarkan bajet besar untuk membiayai beberapa siri operasi sejak tahun 2018 yang melibatkan ramai petugas, keperluan logistik, kos vaksinisasi dan perbelanjaan-perbelanjaan lain.

“Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat maka kita perlu mengambil tindakan proaktif dan efektif walaupun berbentuk ‘unconventional’ bagi mencegah wabak rabies ini.

“Salah satu kaedahnya adalah dengan mengambil tindakan pencegahan awal iaitu mengawal penularan atau menghapuskan punca wabak ini sebelum ia menular, seperti kata pepatah ‘mencegah adalah lebih baik dari mengubati’,” jelasnya.

Dalam majlis sama, Premier Sarawak turut menyaksikan dua Memorandum Persefahaman (MoU) ditandatangani oleh UKPS bersama Sarawak Research & Development Council (SRDC) dan Sarawak Energy Berhad (SEB).

Tujuannya adalah untuk menjalinkan kerjasama bagi mengawal penyakit berjangkit dan penggunaan fasiliti bersama bagi mencari kaedah terbaik dalam operasi pengawalan penyakit rabies nanti.

Melalui kerjasama sebegini maka potensi pasukan IBET dapat dieksploitasikan secara optimum bagi mencapai objektif penubuhannya. -EDISI UKAS

add comment