ISNIN, 26 SEPTEMBER 2022
TANJUNG MANIS: Konsep ekonomi digital yang dipelopor oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang semakin difahami oleh penduduk di kawasan pesisir.
Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) berkesempatan menemui beberapa penduduk ketika Program Randau Pembangunan Sosial Bahagian Mukah anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti di Kampung Paloh, Kedang dan Berangan pada 24 hingga 25 September lalu.
Seorang penduduk Kampung Paloh, Affendi Sahari berkata, kebanyakan penduduk di Kampung Paloh adalah golongan B40.
Katanya aktiviti ekonomi penduduk kampung tersebut adalah pertanian dan perikanan, mereka akan menjual kepada orang tengah jika ada produk.
Tuai Rumah Kampung Berangan Jawing Jalau pula berkata, mereka memahami dan bersedia dengan konsep pertanian cara baharu yang dipromosikan oleh Premier Sarawak.
Beliau berkata, dengan adanya rangkaian internet mereka bersedia beralih ke pertanian moden dan berharap telekomunikasi tersebut boleh ditambah baik.
Tuai rumah Kampung Berangan Jammie Isan pula memberitahu, mereka melakukan aktiviti perikanan juga selain produk pertanian.
Beliau berharap kemudahan ada di kawasannya ditambah baik agar dapat menghubungkan Polah dengan kawasan luar.
Sementara itu, Pengurus Besar SMA, Dr. Zaidi Razak memberitahu, SMA telah membina dua menara SMART 300 fasa satu untuk penduduk Kampung Paloh dan Kampung Berangan agar dapat menikmati Internet berkelajuan tinggi pada penghujung tahun ini.
Program Randau Pembangunan Sosial tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir. Yusuf Abdul Wahab.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol dan Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Mohammad Razi Sitam. –EDISI UKAS