RABU, 28 SEPTEMBER 2022
SIBU: Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengemukakan cadangan kepada kabinet negeri berhubung jawatan pengerusi tetap bagi majlis-majlis daerah di negeri ini yang masih diketuai Pegawai Daerah.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datu Dr Penguang Manggil berkata, seorang pengerusi tetap majlis daerah sangat penting memandangkan tugas Pegawai Daerah kini semakin banyak dan berat.
“Kita harus melangkah ke hadapan memandangkan majlis kini berdepan lebih banyak cabaran, tugas dan tanggungjawab memerlukan seorang pengerusi tetap,” katanya dalam sidang media selepas sesi ‘Engagement With Stakeholder’ PBT Central Zon di Perpustakaan Awam Sibu pada Selasa.
Datu Dr. Penguang berkata, lantikan politik jawatan pengerusi tetap majlis daerah itu dilihat perlu bagi membolehkan pihak majlis memberi perkhidmatan lebih baik kepada masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi itu menambah Majlis Daerah Marudi (MDM) menjadi satu-satunya majlis daerah yang mempunyai pengerusi tetap buat masa ini.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan kementeriannya juga berusaha membantu menambahkan sumber pendapatan bagi semua pihak berkuasa tempatan (PBT) memandangkan tugas dan tanggungjawab mereka semakin bertambah.
Ujarnya, dengan keperluan orang ramai semakin meningkat dan PBT perlu meluaskan perkhidmatan sehingga ke luar bandar, semua ini memerlukan banyak perbelanjaan.
“Justeru, kita perlu mencari jalan menambah perbelanjaan dengan mengambil kira menjaga kawasan luas serta berhadapan masalah logistik,” jelasnya.
Mengenai tanah-tanah kosong yang dipertanggungjawabkan kepada majlis untuk dijaga, beliau mencadangkan pihak majlis untuk mengambil balik tanah itu seterusnya dimajukan.
Sebagai contoh, tanah tersebut boleh dijadikan tempat parkir, membina gerai dan tempat berniaga yang boleh menjana pendapatan kepada pihak majlis.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datu Antonio Kahti Galis, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Clarence Ting dan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Sempurai Petrus Ngelai. – EDISI UKAS