Kerajaan Sarawak Cari Jalan Perbaiki Keadaan Penjawat Awam Sarawak Termasuk Gaji

RABU, 28 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bercadang mencari jalan bagi memperbaiki keadaan penjawat awam di Sarawak termasuk mengenai kadar gaji yang sehingga kini tidak memadai. 

Katanya, ketika ini sebarang kewujudan jawatan dalam perkhidmatan awam di Sarawak perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Pencen Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di Kuala Lumpur.

Tegasnya, disebabkan itu keadaan jawatan dalam perkhidmatan awam sehingga kini sama sahaja.

“Ini kerana jawatan bergantung kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). JPA di Kuala Lumpur. 

“Kadang-kadang jawatan dalam perkhidmatan awam ini diambil Kuala Lumpur dan kadang-kadang jawatan dalam perkhidmatan awam ini tidak diluluskan. Jadi, keadaan penjawat awam Sarawak tidak berubah,” katanya semasa berucap dalam Townhall YAB Premier Sarawak Bersama Penjawat Awam Negeri Sarawak di Hotel Pullman di sini pada Rabu.

Sehubungan itu, Sarawak perlu mempunyai sumber kewangan sendiri dan kukuh untuk memastikan penjawat awam Sarawak sentiasa diberikan perhatian sewajarnya. 

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan tidak sesekali berniat untuk memecahkan penjawat awam Sarawak dengan penjawat awam Persekutuan sebaliknya berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah ini. 

“Apabila bercakap mengenai rasuah, gaji anda tidak cukup hingga menyebabkan adanya godaan rasuah.

“Persoalannya, kenapa Singapura mempunyai kadar rasuahnya yang rendah? Ini kerana gaji penjawat awamnya besar. 

“Ini bukan bermakna saya hendak memecahkan penjawat awam Sarawak dan Persekutuan, sebaliknya kita perlu mencari jalan penyelesaiannya,” ujarnya. 

Jelas Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari lagi, beliau bersama barisan kabinetnya berusaha untuk meningkatkan pendapatan negeri dan akan berkongsi dengan penjawat awam Sarawak. 

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai dan Peguam Besar Negeri Sarawak Dato Talat Mahmud.-EDISI UKAS

add comment