Penjawat Awam Sarawak Diseru Contohi Pengasas Syarikat Apple Steve Job – Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari

RABU, 28 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mahu penjawat awam Sarawak mencontohi pengasas syarikat Apple Steve Job yang telah berjaya membangunkan syarikatnya menjadi sebuah syarikat yang berjaya di dunia hari ini. 

Memetik kata Steve Job ketika hendak menubuhkan syarikat Apple dan mengambil kakitangan serta pekerja, ‘kami tidak mengupah orang yang bijak dan memberitahu mereka apa yang perlu dilakukan, tetapi kami mengupah orang yang bijak supaya mereka boleh memberitahu kami apa yang perlu dilakukan.

Justeru, beliau mahu penjawat awam Sarawak perlu bijak dalam memimpin jabatan untuk menjadi lebih pintar dan berjaya.

“Penjawat awam adalah golongan yang bijak di mana anda adalah enjin, anda adalah motivator dan anda juga berada di lapangan. Dalam hal ini, anda boleh memberitahu menteri apa yang perlu dilakukan. 

“Misalnya, jika pegawai daerah memberitahu projek ini tidak dapat dijalankan, maka beliau perlu memberitahu cadangan lain kepada kami (menteri). Jadi, pelaksanaan projek itu dapat dilaksanakan,” katanya semasa berucap dalam Townhall YAB Premier Sarawak Bersama Penjawat Awam Negeri Sarawak di Hotel Pullman di sini pada Rabu. 

Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari menegaskan kata-kata Steve Job itu juga boleh disifatkan sebagai satu nasihat untuk menjadi sukses. 

“Anda memberi kami maklum balas dan kami menganalisis dan mencari jalan penyelesaian terbaik. Inilah caranya. 

“Sebab itu, kita perlu melihat kisah orang yang berjaya dalam syarikat yang berjaya. Nama Apple yang diasaskan Steve Job kini telah berjaya mengubah dunia hari ini,” ujarnya. 

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn, Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai dan Peguam Besar Negeri Sarawak Dato Talat Mahmud.-EDISI UKAS

add comment