Premier Sarawak Terima Dua Kunjungan Hormat

RABU, 28 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Premier Sarawak`, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat daripada pihak Diocese of Kuching dan Sarawak Innovation And Technology Hub (SMITH) di Wisma Bapa Malaysia, pada Rabu.

Kunjungan pertama daripada Diocese of Kuching diketuai oleh The Bishop Of Kuching, The Right Reverend Datuk Danald Jute.

Ketika ditemui media, Datuk Danald berkata, kunjungan pihaknya adalah untuk memberikan penghargaan terhadap sokongan daripada Premier Sarawak kepada gereja termasuk sekolah mubaligh di Sarawak.

“Pada kunjungan ini, kami menyampaikan penghargaan kepada Premier Sarawak atas sokongan beliau berikan kepada gereja termasuk sekolah mubaligh di seluruh Sarawak.

“Selain itu, untuk memberikan sokongan kami atas usaha baik dan dasar kebajikan kerajaan Sarawak.

“Dengan itu juga, kami mengemukakan permohonan untuk sokongan moral kerana gereja juga menjadi sebagai satu komuniti yang berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

Datuk Danald menambah, Premier Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM8.5 juta sebelum ini untuk Kompleks Pusat Latihan Anglikan di St Thomas Kuching.

“Dua tahun lepas, Premier Sarawak telah meluluskan peruntukan sebanyak RM7 juta untuk Kompleks Pusat Latihan Anglikan dan kemudiannya ditambah dengan RM1.5 juta.

“Dan sebentar tadi, secara tidak rasmi ataupun secara lisan, beliau meluluskan RM3 juta lagi,” jelasnya.

Selepas itu, Premier Sarawak menerima kunjungan hormat kedua daripada pihak SMITH yang diketuai oleh Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain.

Dalam sidang media selepas kunjungan hormat berkenaan, Naib Presiden Kanan (Rantaian Bekalan) Premier Inc, David A. Hargraves dari Amerika Syarikat yang turut hadir memaklumkan, kunjungan hormat itu adalah untuk membincangkan perkara berkenaan peluang yang dapat diterokai di Sarawak.

“Tujuan kunjungan kami adalah untuk meneroka peluang meningkatkan daya tahan rantaian bekalan di peringkat global.

“Ini susulan keperluan untuk mempunyai lokasi yang stabil dengan tenaga bersih dan komitmen terhadap kemampanan termasuk dasar buruh yang baik.

“Terdapat keperluan untuk mengembangkan rantaian bekalan yang memberi perkhidmatan kepada hospitaliti di Amerika Syarikat dan mencari rakan kongsi yang dipercayai.

“Jadi kami berjumpa dengan Premier Sarawak untuk berbincang mengenai perkara itu dan melihat jika ada peluang di Sarawak,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Baring Private Equity Asia (BPEA), Gordon Shaw memberitahu, Sarawak dapat membantu matlamat pihaknya dalam usaha ke arah mencapai neutraliti karbon.

“Salah satu matlamat kami adalah untuk menjadi neutral karbon.

“Kami berharap untuk menjadikan syarikat portfolio pelaburan kami juga neutral karbon.

“Saya amat berbesar hati bahawa terdapat tumpuan kepada sasaran alam sekitar hijau dan juga bekalan tenaga yang sedia ada di Sarawak terutamanya boleh diperbaharui.

“Jadi itu akan membantu peralihan beberapa syarikat portfolio kami menjadi sebahagian usaha ke arah mencapai neutraliti karbon,” katanya. -EDISI UKAS

add comment