Penggunaan Pelitup Muka Dalam Pesawat Tidak Wajib Berkuatkuasa 28 September 2022

KHAMIS, 29 SEPTEMBER 2022

KUCHING: Pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan ketika menaiki kapal terbang berkuatkuasa 28 September 2022.

Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin memberitahu, kementeriannya bagaimanapun menggalakkan agar pemakaian pelitup muka terus diamalkan bagi individu-individu bergejala, berisiko tinggi, dan mereka yang mengembara bersama orang berisiko tinggi.

“Keputusan ini dibuat menggunakan pendekatan berasaskan risiko dan telah mengambil kira penambahbaikan dalam teknologi kapal terbang serta beban kes COVID-19 di Malaysia yang lebih terkawal ketika ini.

“Antara penambahbaikan dalam pesawat sekarang ini termasuk pengudaraan yang baik dalam kabin, penggunaan penapis ‘high-efficiency particulate absorbing’ (HEPA) untuk mengeluarkan bahan cemar bawaan udara, susunan tempat duduk ke hadapan dan kekerapan penjadualan disinfeksi kapal terbang,” jelasnya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Khairy menambah, kelonggaran ini juga adalah selaras dengan syor kesihatan daripada negara-negara seperti kesatuan Eropah, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Singapura.

Namun jelasnya, keperluan pemakaian pelitup muka di dalam kapal terbang masih tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh negara yang dikunjungi. -Edisi UKAS

add comment