KHAMIS, 29 SEPTEMBER 2022
KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Dato’ Seri Mahdzir Khalid di DUN Petra Jaya, Kuching pada Khamis.
Ketika ditemui media, Dato’ Seri Mahdzir berkata, kunjungan hormat tersebut bertujuan untuk membincangkan perkara berkaitan perkembangan projek pembangunan yang dijalankan di seluruh negeri Sarawak.
Jelasnya, ia melibatkan koordinasi di antara pihak KPLB dan kerajaan Sarawak bagi pembangunan luar bandar yang merangkumi jalan, bekalan elektrik dan bekalan air.
“Antara perkara yang kita bincang adalah melibatkan koordinasi antara kerajaan negeri dan KPLB.
“Premier Sarawak juga bersetuju supaya pihak teknikal daripada KPLB dan negeri Sarawak dapat mengadakan perjumpaan dengan kerap khususnya berkaitan jalan, bekalan elektrik dan bekalan air di luar bandar.
“Jadi menerusi koordinasi ini, kita dapat mengenalpasti projek yang di bawah kerajaan negeri dan juga di bawah pihak KPLB,” katanya.
Dato’ Seri Mahdzir menambah, koordinasi juga amat penting supaya tiada pertindihan di antara bajet kerajaan negeri dan bajet daripada KPLB.
Sementara itu, Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan turut memberitahu, perjumpaan dengan pihak KPLB berjalan lancar dan kerjasama dari segi pelaksanaan projek akan dipertingkatkan.
“Perjumpaan kita berjalan dengan baik sekali dan kita membincangkan kerjasama bagi pelaksanaan projek dari segi kepentingan koordinasi.
“Kita akan mempertingkatkan lagi kerjasama dan memastikan projek yang telah diluluskan akan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun, Timbalan Ketua Setiausaha KPLB, Mas Rizal Mohd Hilmi, Pengarah KPLB Sarawak, Mohd Syafiq Anas Abdullah dan Setiausaha Bahagian (SUB) Perancangan Strategik KPLB, Abdul Kahar Abdullah. -EDISI UKAS