JUMAAT, 30 SEPTEMBER 2022
MIRI: Seramai 65 orang peserta daripada 14 buah rumah panjang, kampung tradisi dari Miri, Limbang dan Bintulu telah menghadiri kursus Program Transformasi Kampung (VTP) di Miri.
Menurut Pengarah Urusan M.I.W.T Global Resources Sdn. Bhd Mustafa Kamal Kassim, mereka ini akan diajar kemahiran-kemahiran tertentu dalam usaha memajukan kawasan penempatan mereka sebaik sahaja tamat kursus ini.
“Setiap peserta akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai semua aktiviti yang dijalankan pusat latihan ini.
“Dasar ini selaras dengan kerajaan untuk melahirkan seramai peserta dari bidang berkemahiran yang bermatlamat untuk menjayakan bidang kemahiran di kalangan rakyat Sarawak khasnya dan Malaysia amnya,” katanya semasa berucap merasmikan Program Transformasi Kampung di Pusat Latihan M.I.W.T Global Resources Sdn Bhd Miri di sini pada Jumaat.
Program ini diselaraskan Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak sebagai urusetia dengan bantuan semua Residen Bahagian.
Antara kursus-kursus yang ditawarkan ialah Kursus Asas Keselamatan Pendawaian Elektrik, Kursus Penghasilan Pastri dan Bakeri serta Kursus Tanaman Secara Fertigasi yang mula diadakan pada 26 hingga 30 September ini.
Turut sama hadir wakil Pengarah Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU) Suteresno Piang dan wakil Pejabat Residen Miri Mukhlisa Fatiha Abdullah.-EDISI UKAS