Pembangunan Komuniti & Rumah Ibadat Digabungkan Secara Rohani, Bentuk Masyarakat Bersatu Padu

AHAD, 2 OKTOBER 2022

BAU: Pembangunan komuniti dan rumah ibadat perlu digabungkan secara rohani bagi membentuk masyarakat yang bersatu padu.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia, Datuk Willie Mongin berkata, kedua elemen itu penting supaya segala yang dirancang dapat dilaksanakan dengan jaya.

Menurutnya, sebagai contoh penduduk di Kampung Stenggang, Kampung Pidilam Stenggang dan Kampung Plaman Sepadah digesa untuk meneruskan kerjasama erat bagi memastikan kelangsungan pembangunan Gereja St Teresa Avila.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Puncak Borneo berkata demikian semasa merasmikan Majlis Makan Amal Gereja St Teresa Avila Stenggang pada malam Sabtu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang memberitahu, beliau mengambil maklum di atas permohonan dari Gereja St Teresa Avila Stenggang kepada pihak Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).

Katanya, beliau berharap ada berita baik daripada pihak UNIFOR dalam masa terdekat.

Dalam majlis berkenaan, kedua-dua wakil rakyat telah menyumbangkan peruntukan berjumlah RM10,000 setiap seorang kepada Gereja St Teresa Avila Stenggang.

Turut hadir, Ketua Kaum Kampung Stenggang, Gary Nosen, Ketua Kaum Kampung Pidilam Stenggang, Rigan Mitol dan Ketua Kaum Kampung Pidilam, Jimu Nyobey. -EDISI UKAS

add comment