Pusat Jantung Satelit Perlu Dibina Di Sarawak

AHAD, 2 OKTOBER 2022

KUCHING: Penyakit jantung yang berpunca daripada obesiti, tekanan darah tinggi dan diabetes kini menjadi kebimbangan utama semua lapisan masyarakat.

Sehubungan itu, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian menekankan kepentingan pembinaan kemudahan Pusat Jantung Satelit di negeri ini.

Namun beliau menjelaskan, ia tidak dapat dilakukan berdasarkan mekanisme sama seperti yang dijalankan di Semenanjung Malaysia.

“Sebagai contoh, Alor Setar dan Pulau Pinang mempunyai dua pusat jantung, di mana perjalanan dari Alor Setar ke Pulau Pinang mengambil masa selama dua jam.

“Malangnya di sini, penyakit jantung bukan hanya terhad di kawasan bandar, ianya tidak terhad di Kuching sahaja. Jadi kerajaan Persekutuan tidak boleh hanya berdasarkan populasi seperti Alor Setar dan Pulai Pinang.

“Bagi Sarawak, kita tidak dapat mengikuti model itu kerana kita tidak berdasarkan data untuk jarak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Hari Jantung Sedunia di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, pada Sabtu.

Dato Sri Prof. Dr. Sim menambah, perkara pertama yang perlu dilakukan di sini adalah untuk menaik taraf Pusat Jantung Sarawak (SHC).

“Tidak dinafikan bahawa dari kita laksanakan perancangan pusat jantung secara menegak, dan kini kita mungkin perlu mula melakukannya secara mendatar pula.

“Secara mendatar bermakna memulakan pusat jantung satelit di bandar yang lain.

“Perkara yang sama juga dilaksanakan untuk rancangan pusat kanser. Kita perkembangkan pusat kanser secara menegak terlebih dahulu supaya ia bertaraf dunia dan kemudian apabila sudah mempunyai kepakaran yang mencukupi, kita boleh memulakan pusat satelit di bandar-bandar lain di Sarawak,” ujarnya.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak itu menambah, beliau telah memaklumkan kepada Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin mengenai keperluan untuk menubuhkan pusat jantung satelit di Sibu, Miri dan Bintulu semasa lawatan kerja beliau ke Sarawak baru-baru ini. -EDISI UKAS

add comment