AHAD, 2 OKTOBER 2022
LUNDU: Pusat Penjaja Biawak yang terletak kira-kira 30 kilometer dari Pekan Lundu berpotensi besar untuk dijadikan sebagai sebuah hab pelancongan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang berkata, faktor ini disebabkan pusat penjaja berkenaan terletak strategik di kawasan sempadan angtara Malaysia-Indonesia.
Menurutnya, para pelancong boleh berkunjung ke kawasan tersebut sekaligus meningkatkan pendapatan masyarakat setempat.
“Justeru, pihak Majlis Daerah Lundu perlu lebih proaktif dalam membantu untuk membangunkan kawasan Biawak ini agar setaraf dengan Pasar Serikin dan juga Tebedu dari segi penjualan barangan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Perasmian Penangguhan Peogram Je’ Layo ke Zon 3 Biawak, Lundu di Pusat Penjaja Biawak pada Sabtu.
Tambah Billy lagi, Majlis Daerah Lundu berperanan penting dalam menyokong komuniti Zon 3B ini untuk mengadakan aktiviti dan seterusnya memajukan kawasan itu.
Billy juga menyokong sekiranya program jualan produk pertanian seperti ini dapat diadakan sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi mempromosikan secara berterusan agar ia dapat dikembangkan menjadi pasar yang lebih maju dan menarik.
Dalam pada itu, Billy juga menggesa ahli-ahli majlis untuk terus merangka program dan strategi pelancongan di kawasan Opar ini umumnya untuk menggalakkan aktiviti pelancongan.
Bercakap berkenaan perancangan pada masa hadapan, beliau juga berhasrat untuk menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Biawak serta membina pelabuhan darat sebagai satu persediaan bagi menghadapi kemasukan orang luar khususnya dari Indonesia.
Billy turut mengumumkan peruntukan geran MRP berjumlah RM10,000 kepada Komuniti Zon 3B Lundu. -EDISI UKAS