ISNIN, 3 OKTOBER 2022
KOTA SAMARAHAN: Seramai 15 orang pegawai kerajaan Sarawak yang sedang mengikuti jurusan Sarjana Pengurusan Teknologi Maklumat (MITM) telah membentangkan projek penyelidikan berasaskan komuniti dalam Simposium ‘Borneo ICT4D In The Field’ di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FCSIT), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), baru-baru ini.
Penyelidikan tersebut bertemakan pertanian, perkhidmatan digital, kerajaan digital dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang melibatkan Ekonomi Digital Sarawak.
Simposium yang diadakan pada 12 hingga 30 September 2022 itu merupakan salah satu program yang direka khas untuk kumpulan pertama pegawai negeri yang mengambil MITM.
Pada minggu pertama program berkenaan, para pegawai bekerjasama dengan komuniti dari Kampung Terbat, Kampung Temong Mawang, Kampung Danu serta penduduk Kuching dari Taman Lebunda, Taman Demak Indah dan Sourabaya Height untuk mencari masalah kajian.
Selain itu, perbincangan kumpulan antara wakil komuniti dan pegawai turut dilaksanakan untuk memberikan cadangan penyelesaian atau kaedah berasaskan ICT.
Kemudiannya, para pegawai meneruskan kajian bersama penyelia dari FCSIT dan memperhalusi penyataan masalah atau menyemak literatur berkaitan.
Pada hari terakhir program, pembentangan analisis dan cadangan penyelesaian diadakan di hadapan ahli panel yang memberikan maklum balas tentang penyelesaian sekaligus memberikan idea penambahbaikan.
Turut hadir dalam simposium tersebut ialah pegawai Unit Pembangunan dan Pengurusan Sumber Manusia Jabatan Premier Sarawak, Abang Muhammad Syafiq Abang Mohtar dan Dayang Patinas Awang Jos dan Timbalan Pengarah Akademi Digital Pusat Kecemerlangan Teknikal (CENTEXS), Dr Dayang Hanani Abang Ibrahim. -EDISI UKAS