FFI Nyatakan Hasrat Melabur Dalam Pengeluaran Hidrogen & Ammonia Hijau Di Sarawak

ISNIN, 3 OKTOBER 2022

KUCHING: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah menerima kunjungan hormat Presiden Asia Tenggara Fortescue Future Industries Pty. Ltd. (FFI) Allard Nooy di pejabatnya pada Isnin. 

Kunjungan hormat itu susulan daripada lawatannya ke Australia Barat pada Jun lepas dengan Fortescue menyatakan hasrat untuk melabur dalam pengeluaran hidrogen dan ammonia hijau di Sarawak.

Semasa pertemuan itu, Datuk Amar Awang Tengah mengalu-alukan pelaburan projek pengeluaran hidrogen dan ammonia hijau berskala besar pertama FFI di dunia. 

Projek ini adalah selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030 yang berteraskan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar. 

Sementara itu, Allard Nooy turut memuji Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah di atas kepimpinannya dalam memudahkan para pelabur melabur dalam projek cadangan mereka.

Selain itu, terdapat beberapa projek lain yang serupa sedang dirancang di Sarawak dan ini bersandarkan kepada sumber asli yang banyak dan tenaga boleh diperbaharui hijau menjadikan Sarawak berpotensi sebagai hab pengeluaran hidrogen di rantau ini.

Hadir sama Penasihat MINTRED Datuk Mohd Naroden Majais, Pemangku Setiausaha Tetap kepada MINTRED Dzulkornain Masron dan Pegawai Khas MINTRED Datu Liaw Soon Eng serta pegawai kanan EPU, SEB, LAKU, PETROS dan Pelabuhan Samalaju.-EDISI UKAS

add comment