JBPM Pertingkat Aspek Keselamatan Rakyat

ISNIN, 3 OKTOBER 2022

KUCHING: Peranan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bukan sahaja bertindak mengawal kebakaran tetapi juga sebagai petugas barisan hadapan dalam menangani pelbagai kes kecemasan.

Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Prof Dr. Sim Kui Hian berkata, walaupun JBPM adalah di bawah kerajaan Persekutuan tetapi keselamatan rakyat di Sarawak juga turut menjadi keutamaan.

Sehubungan itu beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menjelaskan, pindaan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 dan pindaan Undang-Undang kecil bangunan Seragam 1984 telah dibuat dan digunapakai oleh JBPM dalam menentukan keperluan kebombaan dalam aspek keselamatan kebakaran termasuk kelulusan pelan, pemeriksaan bangunan dan penguatkuasaan.

“Pindaan ini sangat tepat pada masanya kerana seperti yang saya katakan untuk Sarawak, apabila menjelang tahun 2030, kita tidak mahu menjadi yang terkaya di Malaysia tetapi bangunan kita tidak selamat.

“Kita tidak mahu ada yang berkata tidak mampu membayar pengurusan keselamatan dan ini juga melibatkan soal sikap dan kita perlu mengubah minda di mana kita juga mahu setara dengan mana-mana pembangunan yang dimiliki oleh negara maju,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempunakan majlis perasmian Seminar Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (Pindaan 2021) di Hotel UCSI, Kuching pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Pengarah JBPM, Dato’ Sri Ts. Mohammad Hamdan Wahid turut memaklumkan, kedua pindaan tersebut dilaksanakan berdasarkan pembangunan baharu dan teknologi terkini serta peningkatan populasi.

“Jadi dalam kedua pindaan itu, kita ada menyebut bahawa terdapat keperluan untuk bangunan yang ditetapkan, bangunan yang ditetapkan bermaksud bangunan dengan risiko tertentu dan mereka perlu mempunyai Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) ini,” ujarnya.

Turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datu Antonio Kahti Galis, Pengarah JBPM Negeri Sarawak, Datu Khirudin Drahman@Hussaini, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Datu Junaidi Reduan dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Dato Wee Hong Seng. -EDISI UKAS

add comment