Pembinaan Estet Perindustrian & Anjung Usahawan Bantu Perluaskan Produk Keluaran Tempatan

ISNIN, 3 OKTOBER 2022

LIMBANG: Kerajaan Sarawak akan memastikan setiap masyarakat di kawasan luar bandar di negeri ini termasuk di daerah Limbang dibantu dalam perniagaan sekaligus meningkatkan sosioekonomi. 

Menurut Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, ini termasuklah menyediakan premis-premis perniagaan. 

“Untuk meningkatkan lagi dalam bidang keusahawan, perancangan untuk melaksanakan estet perindustrian dan juga pembinaan beberapa buah tempat perniagaan seperti Anjung Usahawan yang akan menempatkan usahawan-usahawan kita supaya mereka dapat memperluaskan lagi pemasaran produk-produk mereka serta program-program untuk latihan dari segi pemasaran,” katanya. 

Beliau berucap di Majlis Penangguhan Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) Limbang 2022 di Kompleks Sukan Limbang di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, ujar Datuk Amar Awang Tengah lagi, Kerajaan Sarawak juga telah menubuhkan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS) di Singapura dan bercadang memperluaskannya di Brunei dan Indonesia bagi membantu usahawan tempatan Sarawak memasarkan produk di negara-negara tersebut. 

“Kesemua ini adalah untuk membantu para usahawan kita walau di mana mereka berada demi memperluaskan lagi pemasaran produk dan apa yang penting adalah untuk terus berusaha demi meningkatkan perniagaan yang diceburi,” ujarnya. 

Hadir sama Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia Dato’ Seri Mahdzir Khalid, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar Dato’ Ramlan Harun, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Ke Negara Brunei Darussalam Dato’ Raja Reza Raja Zaib Shah, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dr Ripin Lamat dan Ahli Dewan Negara merangkap Penasihat Khas Pendidikan kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia Senator Datuk Dr. Azhar Ahmad dan Residen Bahagian Limbang Sebi Abang. -EDISI UKAS

add comment