Pusat Pakar Perubatan Normah Akan Miliki Bangunan Baharu

ISNIN, 3 OKTOBER 2022

KUCHING: Pusat Pakar Perubatan Normah akan memiliki bangunan yang baharu serta dilengkapi dengan teknologi yang lebih canggih.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, pihaknya kini sedang mendapatkan para pakar untuk membantu membina bangunan berkenaan.

“Kami sedang mendapatkan pakar untuk membantu kami menguruskan cara pembinaan bangunan itu harus dibina dan apakah kemudahan IT yang mesti dilengkapi di bangunan itu serta seterusnya kami akan mendapatkan peralatan terbaik untuk kegunaan hospital berkenaan.

“Bersebelahan hospital itu nanti akan terdapat hotel yang akan menyediakan penginapan kepada pesakit serta penjaga mereka.

“Ini akan memakan wang yang banyak, jangan risau saya akan mencari wang itu untuk kita membina bangunan ini,”katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Makmal Kardiovaskular, MSCT dan MRI baru di Pusat Pakar Perubatan Normah di sini pada Isnin.

Menjelas lanjut, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata, pembinaan hospital baharu itu juga nanti akan mengambil kira faktor mesra alam dan selesa semasa rawatan pesakit dan selepas rawatan.

Sementara itu, Premier Sarawak turut menekankan Kerajaan Sarawak akan akan memperkasa sektor penjagaan kesihatan di negeri ini dengan melaksanakan sistem teknologi kecerdasan buatan atau lebih dikenali sebagai artificial intelligence (AI).

Ujar beliau, ia  akan membantu memajukan sektor berkenaan dengan lebih cepat serta menyampaikan penjagaan kesihatan yang lebih baik dengan meningkatkan keberkesanannya.

“Pada masa ini, sistem penjagaan kesihatan kita disediakan untuk merawat pesakit yang sudah mempunyai masalah kesihatan dan pesakit dirawat berdasarkan simptom mereka.

“Pendekatan reaktif ini memerlukan kos, masa dan sumber yang besar. Kita perlu mengubah pendekatan ini.

“Masa depan penjagaan kesihatan adalah dalam pencegahan, bukannya mengubati. Inovasi seperti Robot, Digital dan AI dipercayai adalah “pembantu doktor”.

“Salah satu potensinya adalah untuk membantu orang ramai untuk kekal sihat supaya mereka tidak memerlukan doktor, atau sekurang-kurangnya tidak kerap berjumpa doktor,”ujar beliau lagi.

Hadir sama dalam majlis ini ialah Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Professor Dr. Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak yang juga Pengerusi Sarawak Medical Centre Sdn Bhd Dato Sri Mohammad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Kewangan Negeri yang juga Lembaga Pengarah Sarawak Medical Centre Sdn Bhd Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Pusat Pakar Perubatan Normah Dato Dr. Au Yong Kien Hoe.-EDISI UKAS

add comment