ISNIN, 3 OKTOBER 2022
BINTULU: Perubahan yang berlaku pada hari ini telah pun disedari kepimpinan Kerajaan Sarawak apabila turut sama menjayakannya.
Misalnya, mewujudkan Sarawak Corridor of Renewal Energy (SCORE) dalam era perindustrian, meningkatkan penggunaan Bahasa Inggeris sejajar era globalisasi dan penekanan terhadap pendidikan teknikal dan vokasional.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Pelabuhan) Dato Majang Renggi berkata, kita perlu sentiasa bersedia untuk melakukan pembaharuan demi menghadapi perubahan yang semakin mencabar pada masa ini termasuklah ekonomi digital.
“Kini apabila era digital mengubah wajah industri dan cara hidup manusia, Kerajaan Sarawak telah menjadikan Ekonomi Digital sebagai strategi untuk membangunkan negeri Sarawak sebagai negeri membangun pada tahun 2030,” katanya.
Beliau berucap merasmikan PRO-DR RoadShow Siri ke-7 2022 di Dewan Suarah Bintulu pada Isnin.
Dalam pada itu, Dato Majang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju turut menggesa ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka mengambil jurusan sains kerana bidang ini memberikan pilihan yang lebih luas sama ada dalam bidang akademik dan kerjaya
“Pelajar hendaklah mengikis minda bahawa Sains itu sukar. Sekarang ini dengan kemajuan dalam inovasi digital, segala ilmu dan maklumat asas boleh didapati melalui google,” tegasnya.
Ujar beliau lagi, adalah harapan Kerajaan Sarawak menghasilkan lebih ramai tenaga kerja digital demi memacu agenda membangunkan Sarawak pada tahun 2030.
Hadir sama wakil Residen Bahagian Bintulu Faraliza Usop, Pegawai Daerah Bintulu Muhammad Dino Amid, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Bintulu Tero Bayel, Pengurus Kanan TEGAS Community Innovative Learning Fredick Kevin Anak Buseli dan Pengurus Kes Return to Work PERKESO Muhammad Hafiq Sarip.-EDISI UKAS