Anyi Punyai Rancangan Pembangunan Sendiri Untuk DUN Ngemah

KANOWIT: Meskipun belum setahun menjadi wakil rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana rajin turun padang dan mempunyai rancangan pembangunan sendiri bagi DUN Ngemah dalam tempoh lima tahun akan datang.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Salang Gandum berkata, beberapa rancangan pembangunan akan dilaksanakan di kawasan DUN Ngemah meliputi pembangunan infrastruktur, pendidikan, ekonomi dan belia.

Jelasnya, Anyi begitu komited untuk membangunkan rakyat di kawasan DUN Ngemah.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat yang diadakan di Rumah Salang, Rantau Lugai, Hulu Sungai Ngemah pada Sabtu.

Dalam pada itu, Datuk Joseph Salang menyatakan Rumah Salang agak terkenal dengan pelaksanaan Sistem Tagang.

“Sistem Tagang ini boleh meningkatkan ekonomi penduduk khasnya di kawasan luar bandar jika ianya diuruskan dengan baik dan bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian.

“Kawasan Rumah Salang ini sesuai untuk dijadikan sebagai tempat eko-pelancongan. Kawasan Hulu Sungai Ngemah banyak tempat yang cantik dan tiada di kawasan bandar yang boleh menarik perhatian pelancong.

“Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Salang perlu pandai mengeksploitasi kecantikan panorama di Hulu Sungai Ngemah bagi menarik pelancong dan secara tidak langsung boleh meningkatkan pendapatan isi rumah mereka,” ujarnya.

Justeru, beliau menyeru kepada penduduk DUN Ngemah amnya untuk terus menyokong semua calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 akan datang.

“GPS perlu menang banyak kerusi parlimen di Sarawak agar suara Sarawak kuat dan didengari di Dewan Rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Anyi menjelaskan isu projek Jalan Simpang Rumah Salang telah dimasukkan dalam senarai Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2022 dengan bajet RM180,000.

“Di samping itu, permohonan projek Jambatan Gantung yang menyeberangi Sungai Ngemah ke Rumah Salang juga telah dimasukkan dalam projek RTP 2022,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata PRS merupakan parti yang berasaskan kaum Dayak dan dari kawasan luar bandar.

“Adalah penting bagi pengundi terus menyokong PRS dan kepimpinan Datuk Joseph Salang menjelang PRU15,” tambahnya.

Turut hadir Setiausaha Politik Premier Sarawak Susan Clement, Penyelia UKAS Bahagian Sibu Jelani Ajang, Majlis Daerah Kanowit CR Cliff Unting, Ibu Pejabat Polis (IPD) Kanowit Sarjan Bidat, Timbalan Pengerusi PRS Bahagian Ngemah Ramba Resang serta Pengurus RHB Bank Cawangan Kanowit Edwin Bandang.-EDISI UKAS

add comment