Beberapa Jalan Utama Di Bandaraya Miri Akan Ditutup & Dilencongkan Bagi Kelancaran Sambutan Hari Lahir TYT Sarawak & Perarakan Maulidur Rasul

SELASA, 4 OKTOBER 2022

MIRI: Pada hujung minggu ini, bahagian Miri akan menjadi tuan rumah kepada dua perayaan besar iaitu sambutan Hari Lahir Tuan Yang Terutama (TYT) Yang DiPertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan perarakan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak. 

Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu berkata,  sebanyak tiga jalan utama akan ditutup dan diadakan lencongan bagi membolehkan kelancaran kedua-dua program tersebut di Bandaraya Miri. 

“Pada 8 Oktober 2022, bagi isitiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa, beberapa jalan akan ditutup dan dilencongkan pada jam 5:00 pagi sehingga jam 12:00 tengah hari. 

“Di antara jalan-jalan yang terlibat adalah seperti berikut Jalan Bintang akan dijadikan sebagai jalan sehala dan laluan masuk dari Jalan Sukan ke Jalan Bintang ditutup. Jalan Merdu dengan jalan ini akan dijadikan jalan sehala sahaja dan jalan masuk dari Jalan Syilva akan ditutup. Dan, Jalan Kampung Sukan akan dijadikan jalan sehala dan laluan masuk dengan Jalan Sehati akan ditutup,” katanya dalam sidang media di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Miri pada Selasa. 

Tambah beliau lagi, bagi perarakan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak pada 10 Oktober 2022, beberapa jalan lain akan ditutup dan dilencongkan termasuk Jalan Bintang yang akan dijadikan jalan sehala. 

“Pada jam 6:00 pagi Jalan Bintang akan dijadikan jalan sehala dan akan dilencongkan masuk ke Jalan Bintang Jaya 2. Jalan Bintang juga di simpang Jalan Merdu hingga ke Bulatan Kipas akan ditutup. 

“Bermula pada 8 Oktober 2022, bermula jam 5:00 pagi hingga 10 Oktober 2022 jam 2:00 petang. Ini bermakna selama tiga hari jalan ini akan ditutup. 

“Seterusnya, Lampu Isyarat Jalan Syilva akan dibuat pusingan U, Jalan Setia Raja/ Jalan Brooke akan ditutup dan Lampu Isyarat Jalan Brooke akan dibuat pusingan U ke Jalan Kingsway, Jalan Nakhoda Gampar akan dilencongkan ke Jalan Duranta, Lampu Isyarat Jalan Merbau (Hotel Mega) akan dibuat pusingan U, simpang masuk Jalan Permaisuri menuju Bulatan Kipas akan ditutup dan Lampu Isyarat Jalan Sehati/Jalan Sukan akan ditutup,” tambahnya. 

Dalam tempoh 10 Oktober ini untuk tujuan Perarakan Maulidur Rasul sebanyak 4 jalan akan ditutup dan 4 jalan lain akan dilencongkan. 

Ujarnya lagi, bagi orang awam yang menghadiri kedua-dua acara ini diingatkan meletakkan kenderaan di tempat letak kenderaan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Bintang dan tempat letak kenderaan di Stadium Tertutup Miri. 

Dalam pada itu, warga Miri dinasihatkan merancang perjalanan dan memilih laluan alternatif bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas sepanjang penutupan dan lencongan jalan dilaksanakan. 

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Miri di talian 085-433587. -EDISI UKAS

add comment