76,336 Pegawai & Anggota Agensi Siap Siaga Depani Banjir

RABU, 5 OKTOBER 2022

KUALA LUMPUR: Seramai 76,336 pegawai dan anggota agensi tindak balas di semua peringkat berada dalam keadaan siap siaga sepenuhnya untuk menangani bencana banjir pada akhir tahun.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad memberitahu, persediaan pelbagai aset berjumlah 22,622 meliputi aset darat, air, udara, perubatan dan lain-lain juga telah dipersiapkan.

Beliau menambah, dari aspek pemantauan dan amaran awal, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah membuat persiapan melalui dua kaedah iaitu struktur dan bukan struktur.

“Langkah struktur melibatkan projek tebatan banjir yang merangkumi komponen seperti pemuliharaan sungai untuk mengurangkan risiko banjir, penggunaan pam bergerak, menaik taraf infrastruktur mekanikal dan elektrikal serta pembinaan kolam takungan banjir.

“Manakala bagi langkah bukan struktur pula, ianya merangkumi kerja-kerja menaik taraf stesen siren amaran banjir dan stesen kamera web untuk mengumpul dan memproses data hidrologi bagi tujuan ramalan dan amaran banjir.

“Siren amaran dinaik taraf dari segi bunyi dan akan disekalikan dengan pengumuman sekiranya berlaku banjir di kawasan titik panas terutamanya di kawasan penempatan. Sesi libat urus dan ujian siren amaran juga telah dilaksanakan bersama penduduk di beberapa kawasan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Bintulu Dato’ Seri Tiong King Sing mengenai persediaan Kerajaan dalam menangani bencana banjir pada akhir tahun di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Datuk Dr Abd Latiff juga memaklumkan, bagi aspek pengurusan mangsa, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bersiap sedia untuk mengaktifkan 6,010 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara yang mempunyai kapasiti untuk menempatkan 1,620,855 mangsa.

Tambahnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga telah diarah supaya membenarkan penggunaan asrama-asrama sekolah yang tidak dihuni pelajar ketika bencana berlaku untuk dijadikan PPS.

“Pihak JKM juga telah bersedia memaksimumkan fasiliti penyimpanan bantuan bencana di seluruh negara bermula pada bulan September dan Oktober di lapan buah Depot Simpanan Keperluan Bencana (DSKB), 140 buah stor bencana di negeri dan daerah termasuk 53 buah mini depot (kontena).

“Bagi memastikan bekalan barang keperluan bencana mencukupi terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi terputus hubungan, sebanyak 518 buah pangkalan hadapan juga telah disediakan,”ujarnya lagi.-EDISI UKAS

add comment