Galak Anak Ahli Pertubuhan Peladang Ceburi Bidang Pertanian, Akuakultur

RABU, 5 OKTOBER 2022

MERADONG: Pertubuhan Peladang diseru agar menggalakkan anak-anak ahlinya untuk menceburi bidang pertanian dan akuakultur.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata generasi baru itu perlu didedahkan pengetahuan mengenai bidang pertanian dan akuakultur kerana ia berpotensi menjana pendapatan lumayan.

Katanya, langkah ini perlu dilaksanakan agar anak-anak Pertubuhan Peladang tidak malu untuk menjadi peladang.

“Ini adalah generasi seterusnya yang kita perlu sasarkan agar mereka tidak malu menjadi peladang.

“Kerana sekarang ini ramai anak-anak kita masuk universiti nak makan gaji. Inilah masanya untuk kita mengumpul anak-anak ahli Pertubuhan Peladang.

“Walaupun mereka sekolah tinggi namun beri mereka pengetahun mengenai pertanian, akuakultur sebagai karier yang boleh memberi pendapatan yang lebih besar,” katanya berucap semasa pada Majlis Penyerahan Wakalah Zakat Pertubuhan Peladang Di Kawasan Daerah Meradong pada Rabu.

Datuk Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop turut menggesa Pertubuhan Peladang agar mewujudkan program melatih ahli-ahlinya belajar memproses dan memasarkan hasil tani mereka.

Ujarnnya, program itu harus dianjurkan dan memandangkan negara kini berdepan kekurangan bekalan makanan.

Turut beliau cadangkan program yang mendidik kaum ibu memproses hasil tani dan memasarkannya dari rumah agar mereka dapat menjana pendapatan sekaligus melonjakkan sosioekonomi para peladang.

Dalam hal ini, beliau menyeru Pertubuhan Peladang agar memohon dana dari Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah untuk melaksanakan program yang dirancang.

“Walaupun secara kecil-kecilan tetapi ia ‘empowered’ rakyat supaya belajar berniaga agar mereka dapat mengembangkan pernigaan mereka.

“Kita bukan sahaja peladang dan hanya memasarkan hasil tani di pasaran tetapi juga memproses hasil tani untuk dijadikan makanan. Ini merupakan salah satu usaha kita untuk menaiktaraf sosioekonomi ahli-ahli peladang,” tambah beliau lagi.

Dalam majlis sama, Datuk Abdullah turut menyerahkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) N.42 Semop berjumlah keseluruhan RM39,000 kepada lapan penerima terdiri daripada jawatankuasa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan kelab di sekitar Meradong.

Penerimanya adalah Jawatankuasa Induk Pesta Bintangor (RM10,000), Kelab RANDO Meradong (RM5,000), Kelab Polis IPD Meradong (RM5,000), PIBG SK Abg Amin Bintangor (RM5,000), Kelab Anak Seni Meradong (RM5,000), Kelab SABERKAS Cawangan Meradong (RM5,000), Kelab UKHUWAH Meradong (RM3,000) dan Kelab Belia Seberang (RM1,000). – EDISI UKAS

add comment