RABU, 5 OKTOBER 2022
MIRI: Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sarawak telah berjaya menjuarai keseluruhan kategori Future Engineer Challenge (FEC) dalam Pertandingan Robotik Peringkat Kebangsaan anjuran IPG Kampus Sultan Mizan, Besut Terengganu baru-baru ini.
Menurut kenyataan IPG Kampus Sarawak pada Isnin, kejayaan ini membolehkan IPG Kampus Sarawak mewakili Malaysia ke pertandingan peringkat antarabangsa World Robotic Olympiad (WRO) di Dortmund, Jerman pada 17 hingga 19 November nanti.
Pada pertandingan itu IPG Kampus Samarahan telah menghantar dua kumpulan bagi kategori tertutup FEC (bawah 19 tahun) dan satu kumpulan bagi kategori terbuka FEC (20 tahun ke atas).
Keputusan pertandingan menyaksikan IPG Kampus Sarawak telah berjaya mengungguli kategori tertutup bawah 19 tahun dengan mencapai johan dan naib johan.
Manakala, bagi kategori terbuka pula, IPG Kampus Sarawak telah berjaya merangkul johan.
Kedua-dua kumpulan Robotik IPGKS ini telah dibimbing oleh tiga orang pensyarah iaitu Dr Hu Laey Nee, Dr Norsarihan Ahmad dan Tracy Mensan serta dinaungi Mohamad Zailani Jaya selaku Pengarah IPG Kampus Sarawak serta Dr Chin Peng Yee sebagai Timbalan Pengarah IPG Kampus Sarawak.
Sebanyak 27 IPG seluruh Malaysia melibatkan 44 buah pasukan bagi kategori FEC telah menyertai pertandingan ini yang diadakan di Dewan Bendahara, IPG Kampus Sultan Mizan, Besut, Terengganu dari 27 hingga 29 September 2022.
Tambah kenyataan itu lagi, pembelian kit robot yang digunakan dalam pertandingan itu menggunakan baki sumbangan dari Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), bagi penganjuran Projek Computational Thinking dan STEM pada tahun 2021.
Manakala, sebuah lagi kit robot adalah baki sumbangan dari Kerajaan Sarawak, Sarawak Energy, Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Koperasi IPG Kampus Sarawak pada tahun 2020 dan 2021 yang telah diberikan bagi penganjuran Seminar Penyelidikan dan Inovasi Dalam Pendidikan (SPeDIP).
Ujar kenyataan itu lagi, kejayaan ini juga membuktikan pencapaian pelajar IPG Kampus Sarawak ke peringkat antarabangsa selaras dengan pelan strategik IPG Kampus Sarawak yang mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Pelan Transformasi Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dengan melahirkan guru yang kompeten dan menerima cabaran ke arah pendidikan bertaraf dunia.
Pencapaian ini secara tidak langsung dapat meningkatkan imej IPGM, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di peringkat antarabangsa.-EDISI UKAS