Pelbagai Program Kemahiran, Pengetahuan Ekonomi Digital Dilaksana

RABU, 5 OKTOBER 2022

KUALA LUMPUR: Pelbagai program kemahiran dan pengetahuan dalam bidang ekonomi digital telah dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) melalui agensinya Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk rakyat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia adalah bagi menyediakan peluang kepada rakyat secara umumnya termasuk masyarakat di luar bandar untuk memanfaatkan ekonomi digital.

“Program-program yang dilaksanakan oleh MDEC ialah seperti Program eRezeki yang menyediakan platform digital bagi membantu memprofil, melatih dan memadankan golongan B40 dan M40 dengan peluang-peluang tugasan atau pekerjaan daripada platform-platform digital yang mengguna pakai model ekonomi perkongsian atau ekonomi gig.

“Selain itu, terdapat juga Program Global Online Workforce (GLOW) yang menyasarkan golongan yang berkemahiran dan berkelayakan dalam bidang tertentu untuk menjana pendapatan tinggi secara digital.

“Menerusi program ini, latihan dan bimbingan diberikan untuk memperkasakan peserta agar mereka mampu menjana pendapatan bernilai tinggi secara dalam talian dan dari jauh, hasil daripada penawaran perkhidmatan profesional mereka kepada klien tempatan dan antarabangsa,”jelasnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat yang meminta menyatakan apakah program dan inisiatif Kementerian bagi menyediakan latihan serta peluang masyarakat terlibat dalam ekonomi digital serta memacu pertumbuhan ekonomi digital di luar bandar di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Tan Sri Annuar menambah MDEC juga telah melaksanakan program eUsahawan melalui latihan pembelajaran secara luar dan dalam talian untuk melatih individu, pelajar dan usahawan mikro berkenaan ilmu keusahawanan digital bagi menjana pendapatan, menjalankan pemasaran produk dan meningkatkan penjualan.

Di samping itu, terdapat juga program PeDAS yang dilaksanakan untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) luar bandar mahupun miskin bandar bagi memasarkan produk mereka melalui platform e-Dagang.

“Dengan slogan ‘Satu Klik, Sejuta Peluang’, PeDAS kini ditawarkan di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) yang dikenal pasti untuk memberi peluang dan ruang kepada PMKS luar bandar serta komuniti di kawasan miskin bandar bagi mengasah kemahiran dalam perniagaan e-Dagang dan seterusnya mengguna pelbagai aplikasi dan peralatan digital untuk memperkembang perniagaan mereka,”ujarnya.

Katanya lagi, Kempen Jualan Murah Keluarga Malaysia@DE Dagang (JMKM@DE Dagang) juga ada yang mana ia merupakan satu inisiatif e-dagang kerajaan bertujuan untuk menggalakkan peniaga tempatan khususnya PMKS mengguna pakai platform-platform digital bagi meluaskan pasaran dan meningkatkan perniagaan mereka.

Ujar beliau lagi, kementeriannya juga telah melaksana Program #mydigitalmaker yang bertujuan untuk mendekatkan generasi muda terutama murid sekolah dari dalam dan luar bandar, untuk memahami teknologi seperti pengaturcaraan dan pembuatan 3D.

“Ia adalah supaya mereka dapat memupuk minat serta kesedaran untuk mereka meneroka dan seterusnya merangsang idea baru dalam menghasilkan ciptaan inovasi digital,”kata Tan Sri Annuar.-EDISI UKAS

add comment