Tiga Pos Kawalan Baharu Dibina November Ini

RABU, 5 OKTOBER 2022

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memulakan pembinaan baharu bagi tiga lagi pos kawalan pada November 2022 ini.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein, pos kawalan berkenaan terletak di Mengkalap, Rapak Baru dan Tetangga Akrab.

“Pembinaan pos kawalan ini adalah antara inisiatif Kerajaan untuk mengawasi sempadan negara khususnya di antara Kalimantan dan Sarawak kerana ibu kota Indonesia baharu akan berpindah secara berperingkat ke Kalimantan Timur menjelang 2024.

“Perpindahan Ibu Negara Indonesia ke Kalimantan dijangka akan memberi kesan positif dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara khususnya di kawasan sempadan Sarawak-Kalimantan.

“Walau bagaimanapun, ia juga turut memberi kesan negatif terhadap aspek keselamatan khususnya dari sudut jenayah rentas sempadan seperti kemasukan pendatang asing tanpa izin, kegiatan pemerdagangan manusia dan penyeludupan barang kawalan,”katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong yang meminta menyatakan perancangan Kementerian dalam mengawasi sempadan negara khusus di antara Kalimantan dan Sarawak. Ini kerana ibu kota Indonesia baharu akan berpindah secara berperingkat ke Kalimantan Timur menjelang 2024 di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau juga memberitahu, tiga pos kawalan yang terletak di Batu Kaya, Padang Pan dan Sungai Paoh telah siap sepenuhnya dan mula beroperasi pada 19 Ogos 2022.

Katanya lagi, sebuah pos kawalan yang kini sedang dalam pembinaan di Tapak Megah dijangka siap pada penghujung Oktober 2022.

Selain itu, bagi mendepani cabaran ini, Dato’ Seri Hishammuddin turut menjelaskan, kerajaan akan membangunkan Bare Base Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Lapangan Terbang Bintulu, Sarawak di bawah Rolling Plan 2 Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).

“Kerajaan juga akan membangunkan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) di Bintulu, Sarawak bagi meningkatkan keupayaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta kerajaan juga akan memindahkan Markas Briged Infantri Tentera Darat dari Sibu ke Bintulu selain terus mempertingkatkan tahap kesiagaan dan kekuatan Tentera Darat di Bintulu, Sarawak,”ujar beliau.

Dalam pada itu, Menteri Kanan Pertahanan Malaysia itu menegaskan, Kerajaan akan meningkatkan keupayaan operasi pemantauan dan pengawasan sempadan melalui penggunaan aset-aset berteknologi tinggi bagi mengurangkan kebergantungan kepada kaedah pengawasan konvensional secara fizikal yang kurang efektif, mengambil kira faktor geografi sempadan Sarawak-Kalimantan yang luas dan diliputi hutan tebal.

Menjelas lanjut, beliau memberitahu keselamatan sempadan juga akan diperkukuhkan melalui kerjasama pertahanan secara dua hala mahupun serantau.

“Sebagai contoh, semasa Mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan Malaysia Indonesia yang diadakan di ibu negara pada 9 Ogos 2022, kedua-dua negara telah mencapai kata sepakat untuk meneruskan rondaan terkoordinasi di sempadan.

“Selain itu, penugasan Angkatan Tentera Malaysia dan Tentera Nasional Indonesia di Pos Gabungan Bersama (GABMA) melibatkan 14 pos di kedua-dua negara yang tertangguh seketika disebabkan COVID-19 akan diaktifkan semula,”katanya.

Dalam pada itu, katanya lagi, kerajaan akan menggembeleng sumber dan aset Kerajaan secara berpusat melalui pendekatan keseluruhan Kerajaan antara pelbagai agensi penguatkuasaan.-EDISI UKAS

add comment