Kabinet Malaysia Lulus Wakil Sabah Dan Sarawak Dalam LHDNM

KHAMIS,6 OKTOBER 2022

KUALA LUMPUR: Kabinet Malaysia telah meluluskan cadangan untuk meminda Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) 1995 bagi membolehkan wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak menduduki keanggotaan lembaga pengarah LHDNM.

Menteri Kewangan Malaysia, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata dalam satu kenyataan media pada Khamis, walaupun wakil dari Sabah telah dilantik menganggotai LHDN pada 1 Sept lalu, pindaan itu bertujuan untuk menginstitusikan wakil dari dua negeri Borneo itu.

Di samping itu membolehkan pelantikan wakil dari kalangan penjawat awam Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.

Pindaan Akta 533 merupakan tindakan Kerajaan Persekutuan untuk menyusuli permohonan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak yang dipersetujui semasa Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

Kerajaan percaya pelantikan wakil-wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Negeri Sarawak adalah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan mengalu-alukan sumbangan idea dan kepakaran dari wakil Kerajaan Negeri berkaitan pentadbiran percukaian.-EDISI UKAS

add comment