‘Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi’ Komited Pastikan Kenaikan Inflasi Terkawal

KHAMIS, 6 OKTOBER 2022

KUALA LUMPUR: Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi yang telah ditubuhkan oleh Kerajaan pada 29 Jun 2022 memberi penekanan terhadap strategi yang memberi impak segera dengan memberi perhatian kepada usaha untuk memastikan kenaikan inflasi adalah terkawal.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, sepanjang penubuhan pasukan yang diketuai oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Tan Sri Annuar Musa, pelbagai keputusan penting telah diambil dan dilaksanakan.

“Antaranya adalah seperti meneruskan kawalan harga ayam dan telur ayam serta pemberian subsidi penternakan yang dianggar sebanyak RM1.1 bilion serta meneruskan kawalan harga minyak masak sawit tulen kemasan botol 1 kg, 2 kg, 3 kg dan 5 kg secara harga siling bergerak berdasarkan harga minyak sawit mentah dunia.

“Selain itu, pasukan ini juga telah meneruskan kawalan harga bagi komoditi seperti beras dan gula putih bertapis walaupun harga komoditi tersebut serta harga gas asli merupakan antara faktor kos utama dalam input pengeluaran meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abd. Wahab mengenai sejauh manakah kejayaan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dalam mengawal kenaikan harga barang-barang keperluan harian rakyat di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Dato Sri Alexander menambah, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi juga telah meneruskan pemberian subsidi bahan api dan tenaga kepada produk petroleum iaitu RON95, diesel dan gas cecair asli dengan jumlah subsidi lebih RM31 bilion.

Katanya, Kerajaan turut memberi subsidi tarif elektrik sebanyak RM5.8 bilion bagi mengawal kenaikan tarif elektrik walaupun harga bahan api dan gas dunia meningkat.

“Subsidi minyak masak paket 1 kg juga diteruskan pada kadar RM2.50 berbanding harga sebenar 1 kg sebanyak RM7 hingga RM9 serta pewartaan larangan eksport minyak sawit tulen dalam kemasan polibeg. Ini bagi mengelak kekeliruan dengan minyak masak polibeg bersubsidi.

“Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) juga diperluaskan kepada semua Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mana sebanyak 512 DUN daripada 639 DUN telah bermula PJMKM semenjak pertengahan Ogos 2022.

“Keluarga Malaysia boleh mendapatkan barangan sehingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran setempat. Harga yang murah ini adalah manfaat secara langsung subsidi harga melibatkan peruntukan RM100 juta,” tambahnya lagi.

Selain itu, ujar beliau, menerusi penubuhan pasukan ini, program jualan murah di institut pengajian tinggi awam (IPTA) atau PJMKM@Kampus telah diadakan yang melibatkan kerjasama dengan koperasi universiti dan pusat keusahawanan di 20 IPTA.

“IPTA memperkenalkan Menu Keluarga Malaysia. Justeru Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah memperkenalkan program Bakul Makanan Siswa Keluarga Malaysia yang berharga RM3.50,” kata Dato Sri Alexander.

Menjelas lanjut, beliau berkata Jemaah Menteri pada 10 Ogos 2022 telah bersetuju dengan cadangan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi untuk menurunkan kadar sewaan 10 peratus sehingga 20 peratus kepada peniaga yang menyewa premis perniagaan milik agensi kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kadar sewaan yang lebih rendah adalah dialu-alukan. Inisiatif terbaharu ini akan memberi manfaat kepada lebih 5,766 premis perniagaan di Kuala Lumpur. KPT telah melaksanakan inisiatif ini dengan memberikan pengecualian bayaran sewaan selama enam bulan,” ujarnya lagi.

Di samping itu, tambahnya lagi, pasukan berkenaan juga telah melaksanaan operasi bersepadu kementeriannya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bagi menangani ketirisan minyak masak bersubsidi ke luar negara.

Pasukan tersebut juga telah melancarkan Kempen Jualan Murah Keluarga Malaysia @ DE DAGANG (JMKM@DE DAGANG) yang merupakan inisiatif pembiayaan bersama antara kerajaan dan rakan platform digital (e-dagang, e-bayar dan ekonomi perkongsian).

“Ini bertujuan untuk membantu perniagaan Malaysia dalam sektor sasaran seperti Pelancongan & Kraf, Halal & Pertanian dan Eksport (Jenama & Buatan Malaysia) untuk menerima pakai dan memanfaatkan platform digital untuk berkembang maju,” jelas Ahli Parlimen Kapit itu lagi.-EDISI UKAS

add comment