Projek Naik Taraf Jalan Ke Skim Penempatan Semula Metalun & Tegulang Dijangka Ditender Disember Ini

KHAMIS, 6 OKTOBER 2022

KUALA LUMPUR: Projek Menaiktaraf Jalan Balak Ke Penempatan Semula Tegulang dan Projek Menaiktaraf Jalan Balak Ke Penempatan Semula Metalun di Kapit, Sarawak kini berada di peringkat reka bentuk terperinci.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid, kedua-dua projek berkenaan dijangka ditender pada Disember 2022.

“Projek Menaiktaraf Jalan Balak Ke Penempatan Semula Tegulang (Fasa 5) Di Kapit Sarawak dan Projek Menaiktaraf Jalan Balak Ke Penempatan Semula Metalun (Fasa 6) Di Kapit, Sarawak adalah projek yang telah diluluskan di bawah Rolling Plan Ketiga, Rancangan Malaysia Ke-11 (RP3, RMKe-11) Tahun 2018 dengan siling peruntukan masing-masing sebanyak RM61.0 juta dan RM112.0 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Sementara itu, Datuk Seri Mahdzir menambah, bagi projek membina jalan dari Rumah Nyamuk, Nanga Gaat dan Sungai Kain pula, dijangka dapat ditender pada suku ketiga tahun 2023.

“Projek ini telah diluluskan di bawah Rolling Plan Pertama, Rancangan Malaysia Ke-12 (RP1, RMKe-12) Tahun 2021 dengan kos projek sebanyak RM180 juta.

“Skop projek ini adalah membina jalan sepanjang 30km standard JKR R1 termasuk tiga buah jambatan.

“Projek ini telah mendapat kelulusan pertapakan daripada Kerajaan Sarawak pada 28 Julai 2022 dan dijangka dapat ditender pada suku ketiga tahun 2023,” jelas beliau lagi.-EDISI UKAS

add comment