Usaha Dipergiat Sedia Bangunan Sendiri Bagi Taska Dan Tabika KEMAS Yang Masih Menumpang Premis Lain

KHAMIS, 6 OKTOBER 2022

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) kini sedang dalam proses pemutihan premis-premis milikan KEMAS yang beroperasi di atas tapak milik pihak lain.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihak KEMAS menyedari mengenai kekangan yang dialami oleh taska dan tabika KEMAS yang masih menumpang di premis lain seperti rumah panjang di Sarawak.

Justeru beliau berkata, pihaknya telah mengambil langkah untuk menyelesaikan perkara itu.

“Antara langkah yang diambil ialah melaksanakan proses pemberimilikan, pengambilan, pembelian tapak bagi premis KEMAS yang didirikan di atas milik pihak lain dengan bayaran seperti yang akan ditetapkan oleh pihak Pentadbir Tanah dan membuat carian tanah yang dikhususkan bagi pembangunan taska dan tabika yang baharu bertujuan untuk memindahkan operasi taska dan tabika sedia ada yang menumpang dan menyewa,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Datuk Seri Mahdzir menjelaskan, memandangkan bilangan premis yang terlibat adalah besar, pihak KEMAS terpaksa membuat proses pemutihan secara berperingkat tertakluk kepada jumlah peruntukan pembangunan dan senarai projek yang diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi (UPE, JPM) bagi setiap rolling plan.

“Di samping itu juga, pembangunan Tabika dan Taska baharu juga adalah tertakluk kepada adanya ketersediaan tapak yang dikhususkan bagi tujuan Tabika dan Taska oleh Jabatan Tanah dan Survei di Sarawak, kesesuaian tapak yang dikhususkan berkenaan serta ketersediaan tapak tersebut untuk dibuat projek pembangunan Tabika dan Taska.

“Dalam ertikata lain, tapak yang dicadangkan tersebut mestilah telah dipindahmilik kepada KEMAS atau direzabkan bagi memastikan hak KEMAS terhadap aset yang dibangunkan tersebut dilindungi dan terpelihara,” jelasnya lagi. Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan wakil rakyat di situ untuk mengemukakan cadangan berhubung dengan pegawai KEMAS di daerah atau di peringkat negeri bagi tindakan selanjutnya sekira terdapat tapak yang bersesuaian bagi tujuan menggantikan Tabika dan Taska yang menumpang di rumah panjang.-EDISI UKAS

add comment