HIKMAH Peneraju Islamiah Sarawak

JUMAAT, 7 OKTOBER 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM52 juta dengan bantuan Tabung Bailtulmal Sarawak (TBS) bagi membina Kompleks Harakah Islamiah (HIKMAH) dan Sekolah Tahfiz HIKMAH. 

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, bagi membentuk masyarakat islam yang berwibawa dan berpengetahuan, kerajaan Sarawak bersama TBS bakal mendirikan dua bangunan yang akan memberi manfaat kepada umat Islam di sini. 

“Kita akan mengemaskini sistem pendidikan kita daripada sekolah rendah, tahfiz, sekolah menengah serta Institut Pengajian Tinggi (IPT) kerana kita akan membangunkan sekolah islam peringkat silibus antarabangsa. 

“Kalau kita sudah membuat lima sekolah antarabangsa maka kita juga perlu membangunkan sebuah Sekolah Islam Antarabangsa di negeri Sarawak,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Pecah Tanah Kompleks HIKMAH dan Sekolah Tahfiz HIKMAH di Jalan Pustaka Kuching di sini pada Jumaat. 

Jelasnya lagi, kerajaan Sarawak akan berkolabrasi bersama Madrasah Aljunied Singapura yang mempunyai silibus diiktiraf oleh Universiti terkemuka di dunia. 

Ujarnya lagi, dengan adanya kolabrasi ini ianya dapat memberikan ruang kepada anak muda bagi meneruskan pengajian mereka di peringkat antarabangsa. 

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Yang Di-Pertua HIKMAH, Tan Sri Datuk Amar (Dr) Abdul Aziz Dato Husain, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr. Hazland Abang Hipni, Naib Yang Di-Pertua HIKMAH, Toh Puan Hayati Ahmat dan Setiausaha Agung Kehormat HIKMAH Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie.-EDISI UKAS

add comment