JUMAAT, 7 OKTOBER 2022
MIRI: Perpaduan dan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum dan agama menjadi tunjang kepada agenda pembangunan yang dilaksanakan di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, objektif Sarawak untuk menjadi negeri maju berpendapatan negeri menjelang tahun 2030 hanya dapat dicapai sekiranya setiap lapisan masyarakat kekal bersatu padu tanpa mengira latar belakang masing-masing.
Mengambil contoh usaha Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) serta pelbagai institusi keagaman lain untuk kumpul bersama dalam menjalankan program doa kesyukuran, beliau berkata, budaya kebersamaan ini adalah unik dan hanya boleh didapati di Sarawak.
“Kita di Sarawak amat bertuah kerana dapat hidup secara aman dan damai antara satu sama lain.
“Namun, perpaduan dan kebersamaan ini tidak muncul sekelip mata. Sebaliknya, ia merupakan aspek yang telah lama wujud dalam kalangan masyarakat Sarawak yang berbilang kaum,” tegasnya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibaca oleh Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian dalam Majlis Kesyukuran Anjuran Agama-Agama Lain bersempena dengan Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-86 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak di Eastwood Valley Golf and Country Club, Miri pada Jumaat.
Dalam pada itu, Premier Sarawak merakamkan perasaan gembira atas inisiatif UNIFOR untuk menyebarkan mesej muhibah dan perpaduan menerusi program tersebut agar masyarakat dapat terus memupuk persefahaman dan sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain.
Sementara itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata, kerajaan Sarawak di bawah pimpinannya akan terus melaksanakan tanggungjawab untuk melindungi setiap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum, agama mahupun fahaman politik.
“Saya turut memikul kewajipan untuk memastikan seluruh rakyat Sarawak dapat menikmati hasil pembangunan serta memimpin negeri ini ke barisan hadapan dalam pembangunan negara dan juga rantau menjelang 2030,” ujarnya lagi.
Sekitar 350 tetamu telah hadir ke majlis doa kesyukuran itu yang bertujuan mengumpulkan institusi agama-agama lain untuk bersama mendoakan kesejahteraan Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.
Ia melibatkan bacaan doa oleh pemimpin-pemimpin agama Baha’i, Hindu, Kristian, Tao, Buddha dan juga Sikh.
Antara yang hadir sama ialah Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Menteri Bertangunggungjawab bagi Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-86 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Dato Majang Renggi, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dr Ripin Lamat, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Martin Ben, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Buckland Bangik, Pengarah UNIFOR, Richard Lon dan Timbalan Residen Bahagian Miri, Juan Ubit. -Edisi UKAS