SABTU, 8 OKTOBER 2022
SIMUNJAN: Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Simunjan yang bermula sejak 5 Oktober 2022 disambut meriah dengan pelbagai aktiviti terutamanya acara tahunan Pertandingan Pintu Gerbang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, sebanyak 11 pasukan yang melibatkan kampung dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dari kawasan berkenaan mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.
“Program ini adalah acara tahunan bagi Simunjan iaitu tahun yang ke-4 setelah tidak dapat diadakan selama dua tahun akibat pandemik COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Simbolik Perasmian Pertandingan Pintu Gerbang Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Simunjan 1444H/2022M di Padang Sentral Simunjan, pada Jumaat.
Difahamkan, pemenang Pertandingan Pintu Gerbang akan menerima wang tunai berjumlah RM20,000 bagi Johan, RM15,000 untuk Naib Johan, RM10,000 untuk tempat ketiga dan dua saguhati masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000.
Sementara itu, turut diadakan Pertandingan Berzikir di Dewan Mesra Simunjan yang terbuka kepada penduduk bahagian Samarahan yang melibatkan 16 pasukan. -EDISI UKAS