Istiadat Perbarisan & Rapat Raksasa Sempena Sambutan Hari Lahir Ke-86 TYT Sarawak Disambut Meriah

SABTU, 8 OKTOBER 2022

MIRI: Kira-kira 10,000 orang menyertai Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa bersempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-86 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada Sabtu.

Majlis yang berlangsung di Stadium Miri itu turut disertai Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Ketibaan Tun Pehin Sri Abdul Taib telah disambut oleh Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi sambutan berkenaan, Dato Sri Lee Kim Shin.

Acara dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku dan Ibu Pertiwiku diiringi 17 das tembakan meriam.

Selepas itu, Tun Pehin Sri Abdul Taib memeriksa kawalan kehormat dari Angkatan Tentera Malaysia.

Acara diteruskan dengan ucapan daripada Premier Sarawak, upacara pemotongan kek, perarakan 86 kontinjen yang diketuai oleh kontinjen daripada Jabatan Premier Sarawak serta persembahan seni daripada Majlis Seni Sarawak (MSS).

Turut hadir Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki dan dif-dif kehormat yang lain.-EDISI UKAS

add comment