JPBN Sarawak Siap Siaga Hadapi Banjir

SABTU, 8 OKTOBER 2022

MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah bersiap siaga dalam menghadapi banjir khususnya di bahagian Miri. 

Menurut Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi JPBN Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pihaknya telah menyediakan pelbagai keperluan dan kemudahan yang diperlukan termasuk Pusat Pemindahan Sementara (PPS). 

“Kita telah menentukan bahawa segala kemudahan infrastruktur yang disediakan ini termasuk PPS. Di Miri kita mempunyai 48 PPS dan di seluruh Sarawak 627 PPS. 

“Sebanyak 8 Pusat Penyimpaanan Bantuan Makanan di Miri dan 23 lagi di seluruh Sarawak, manakala sejumlah 16 stor makanan di seluruh Sarawak,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Bencana Banjir (MTL) di Pejabat Residen Bahagian Miri di sini pada Jumaat. 

Turut hadir beberapa jabatan dan agensi kerajaan di bawah JPBN Sarawak. 

Beliau turut memaklumkan JPBN Sarawak juga akan mengaktifkan 40 Community Emergency Response Team (CERT) di seluruh sarawak dengan ahlinya lebih 11,800 yang akan membantu komuniti setempat semasa banjir. 

Tambah Datuk Amar Douglas Uggah lagi, beliau telah meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk bersedia terhadap sebarang kemungkinan kesan banjir ke atas kemudahan awam seperti jambatan runtuh, jalan runtuh dan sebagainya. 

“Ini adalah isu besar semasa musim tengkujuh terutamanya di kawasan Baram.

“Kami cuba sedaya upaya untuk memastikan kemudahan ini diperbaiki secepat mungkin sekiranya berlakunya kerosakan dan jalan terputus atau jambatan terputus,” tambahnya. 

Hadir sama Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik, Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Jabatan Premier Sarawak Datu Dr. Chai Khin Chung, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau dan Timbalan Residen Bahagian Miri Juan Ubit.-EDISI UKAS

add comment