Kerajaan Sarawak Luluskan Program Emergency Response Work For Damage Public Infrastructure Sebagai Persediaan Hadapi Banjir

SABTU, 8 OKTOBER 2022

MIRI: Kerajaan Sarawak telah meluluskan satu program yang dikenali Program Emergency Response Work for Damage Public Infrastructure sebagai persediaan menghadapi banjir di negeri ini. 

Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, untuk itu Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50 juta pada tahun 2023 dan seterusnya RM50 juta lagi pada tahun 2024 bagi tujuan itu. 

Jelas beliau lagi, sekiranya jumlah ini tidak mencukupi, JPBN Sarawak akan memohon tambahan dalam memastikan setiap kerosakan kemudahan awam akibat banjir dapat diselesaikan dengan cepat. 

“Setiap kali banjir dan hujan lebat banyak berlaku tanah susur dan jalan terputus, seperti yang berlaku di Murum.

“Keadaan ini pastinya memerlukan dana dan pada masa ini kami tidak mempunyai dana khas. Pada masa sama, kita juga memerlukan masa yang panjang untuk kita daoat menyelenggara sesuatu jalan atau jambatan yang runtuh.

“Ini menyukarkan keadaan dan keperluan rakyat apabila kemudahan awam ini rosak,” jelasnya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Bencana Banjir (MTL) di Pejabat Residen Bahagian Miri di sini pada Jumaat.

Jelas Datuk Amar Douglas lagi, ini adalah inisiatif Kerajaan Sarawak dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa diambil berat. 

Hadir sama Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Buckland Bangik, Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Jabatan Premier Sarawak Datu Dr. Chai Khin Chung, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau dan Timbalan Residen Bahagian Miri Juan Ubit.-EDISI UKAS

add comment