SABTU, 8 OKTOBER 2022
MIRI: Majlis Jamuan Negeri sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak meriah dengan kehadiran kira-kira 300 tetamu di Hotel Pullman Miri pada malam Sabtu.
Majlis diserikan dengan kehadiran Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib.
Pengisian utama program dimulakan dengan persembahan pembukaan serta video montaj pendek sebelum Tun Pehin Sri Abdul Taib menyempurnakan simbolik pemotongan kek sambil disaksikan tetamu-tetamu kehormat yang lain.
Para tetamu kemudiannya disajikan dengan pelbagai persembahan menarik daripada artis-artis tempatan yang diiringi persembahan instrumental oleh kumpulan muzikal Kombo D’Aspirasi RTM.
Turut diadakan persembahan artis-artis dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sarawak.
Pada kemuncak program pula, turut diadakan tayangan dokumentari khas berjudul ‘Father Of Unity’ yang memaparkan perjalanan dan perjuangan Tun Pehin Sri Abdul Taib dalam menyatukan rakyat tempatan tanpa mengira bangsa dan agama sehingga membentuk jati diri anak Sarawak yang bersatu hati, bertoleransi serta hidup dalam suasana penuh harmoni.
Dalam pada itu, majlis ditamatkan dengan persembahan ‘Ai Ai Twist’ oleh setiap artist yang telah membuat persembahan pada malam ini.
Hadir sama ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian serta isteri masing-masing, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri-Menteri, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri George Chan Hong Nam, Timbalan-Timbalan Menteri, Ketua-Ketua Jabatan dan Dif-Dif Kehormat yang lain. -Edisi UKAS