TYT Sarawak Kurniakan Pingat, Darjah Kebesaran Kepada 43 Penerima

SABTU, 8 OKTOBER 2022

MIRI: Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengurniakan Darjah Kebesaran Negeri Sarawak kepada 43 penerima sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-86 beliau di Hotel Meritz, Miri pada Sabtu. 

Mendahului senarai penerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Datuk Amar Bintang Kenyalang (D.A) yang membawa gelaran Datuk Amar ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Dato’ Abang Iskandar Abang Hashim. 

Turut menerima darjah sama ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki. 

Sementara itu, Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Panglima Negara Bintang Sarawak (P.N.B.S) yang membawa gelaran Dato Sri dikurniakan kepada lima penerima iaitu Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Mohd Zain, Presiden Dewan Perdagangan dan Perindustrian Sarawak (SCCI), Datuk Abang Abdul Karim Tun Datuk Abang Openg dan Mantan Pengerusi Sarawak Timber Association (STA), Datuk Wong Kie Yik.

Pengerusi Permodalan ASSAR Sdn Bhd, Datuk Abdul Wahab Dolah pula tidak dapat menghadiri istiadat darjah tersebut. 

Selain itu, Tun Pehin Sri Abdul Taib turut mengurniakan Darjah Gemilang Bintang Kenyalang Sarawak, Panglima Gemilang Bintang Kenyalang (P.G.B.K) yang membawa gelaran Datuk kepada tujuh individu. 

Mereka ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dr Annuar Rapa’ee, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datu Dr Penguang Manggil, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Dato Gerawat Gala, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Kamadjaja Aziz. 

Seorang lagi penerima P.G.B.K iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Dato Murshid Diraja Dr Juanda Jaya tidak dapat hadir ke majlis. 

Manakala, istiadat kali ini turut menyaksikan pengurniaan Darjah Jasa Bakti Sarawak (D.J.B.S) yang membawa gelaran Datu kepada 10 penerima termasuk Timbalan Peguam Besar Negeri Sarawak, Saferi Ali, Residen Bahagian Samarahan, Brahim Lumpu, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Hii Chang Kee, Pengarah Unit Pentadbiran Jabatan Premier Sarawak, Nicholas Sia, Pengarah Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Sarawak, Azlan Ali Badri, Setiausaha Eksekutif Pejabat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sarawak, Mohamad Junaidi Mohidin, Pengarah Institut Penyelidikan Gambut Tropika Sarawak, Dr Lulie Melling Joshua Melling, Pengurus Besar Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah, Monaliza Zaidel, Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak, Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir serta Peguam Kanan Sarawak, John Wayne Chamberlin Sirau. 

Istiadat diteruskan dengan pengurniaan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Panglima Setia Bintang Sarawak (P.S.B.S) yang membawa gelaran Dato kepada 19 penerima termasuk seorang penerima secara ‘Posthumous’. 

Mereka ialah Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau, Hakim Mahkamah Tinggi Kuching, Dr Alwi Abdul Wahab, ahli korporat Su’ut Suhaili, Sapuan Ahmad, Khaider Ahmad Zaidel, Daniel Jubang Kanyan, Dr Jeniri Amir, Dr Anderson Tiong Ing Heng, Andy Chia Chu Fatt, Ivan Tan Boon Kiat, Heng Hock Cheng, Sim Kheng Boon, Dr Alhazmi Saeed Nowifea S, Kolonel (B) Fabian Wong Boon Soon, Amir Abdillah Shabaruddin, Georgina Apphia Ngau, mendiang Penghulu Imban Medan (Posthumous) dan mantan Datuk Bandar Kuching Utara, Madehi Kolek. 

Untuk rekod, Penghulu Imban merupakan ketua masyarakat Iban yang dibunuh pengganas komunis pada 25 Februari 1972. 

Beliau diwakili oleh Roseline Anthony Ajang pada istiadat hari ini.  

Manakala, seorang lagi penerima P.S.B.S, Nunong Dandan tidak dapat menghadiri majlis. 

Dalam perkembangan lain, Tun Pehin Sri Abdul Taib bakal mengurniakan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Datuk Patinggi Bintang Kenyalang (D.P.) yang membawa gelaran Datuk Patinggi kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob di Miri Marriott Resort and Spa pada Ahad. 

Hadir sama ialah isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri-Menteri, Timbalan Menteri-Timbalan Menteri, Ketua-Ketua Jabatan serta Dif-Dif Kehormat yang lain. -Edisi UKAS 

add comment