500 Orang Meriahkan Majlis Jamuan Teh Sempena Sambutan Hari Lahir TYT Sarawak

AHAD, 9 OKTOBER 2022

MIRI: Sekitar 500 jemputan telah memeriahkan Majlis Jamuan Teh sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Eastwood Valley Golf and Country Club, Miri pada pagi Ahad. 

Kehadiran Tun Pehin Sri Abdul Taib serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib menyerikan lagi majlis itu yang turut dihadiri golongan kurang berkemampuan dari sekitar Miri. 

Sejurus ketibaan Tun Pehin Sri Abdul Taib serta Toh Puan Datuk Patinggi Raghad, pengisian utama majlis dimulakan dengan tarian pembukaan berunsurkan kebudayaan. 

Selepas bacaan doa, majlis diteruskan dengan upacara pemotongan pulut kuning oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak sambil disaksikan tetamu-tetamu kehormat yang lain. 

Tun Pehin Sri Abdul Taib kemudiannya menyempurnakan penyampaian sumbangan bantuan kepada 150 penerima iaitu 100 penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) serta 50 penerima bantuan daripada Raghad Foundation. 

Untuk rekod, penerima-penerima bantuan JKMS terdiri daripada 54 penerima Skim Bantuan Warga Emas dan 46 penerima Skim Orang Kurang Upaya di mana mereka mendapat bantuan tunai serta keperluan asas. 

Manakala, 50 penerima bantuan daripada Raghad Foundation turut diberi sumbangan berupa bantuan tunai dan keperluan asas. 

Sementara itu, para hadirin juga disajikan dengan persembahan hiburan tempatan. 

Turut hadir ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Prof Dr Sim Kui Hian serta isteri masing-masing, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri-Menteri, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri, Ketua-Ketua Jabatan dan Dif-Dif Kehormat yang lain. -Edisi UKAS

add comment